suria

MOKL: Pospisil Berpeluh Sebelum Ke Suku Akhir

Vasek Pospisil
KUALA LUMPUR: Pemain pilihan kelapan Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia 2015, Vasek Pospisil menempah tiket ke saingan suku akhir selepas menewaskan Marcos Baghdatis 7-6(2), 3-6, 6-3 pada aksi pusingan kedua, di Stadium Putra Bukit Jalil pada Khamis.


Pemain kelahiran Kanada itu mencatat kemenangan ke-20 musim ini mengambil masa dua jam 28 minit menewaskan Baghdatis yang merangkul naib juara kejohanan ini pada 2011.

“Saya tidak ada sebarang strategi dan hanya cuba untuk kekal berada di gelanggang, mengutip mata dan menang.

“Apabila saya melihat bola, saya cuba memukulnya sekuat hati untuk meraih mata dengan pantas,” katanya.

Pospisil,25, yang mara ke aksi Grand Slam pertama peringkat suku akhir Wimbledon awal tahun ini bakal bertemu pemain pilihan kedua dari Sepanyol Feliciano Lopez.

Lopez yang kini menghuni kedudukan di ranking ke-17 dunia  mara ke aksi suku akhir pada Jumaat selepas menewaskan Mischa Zverev 6-3 7-6(4).

Sementara itu, Grigor Dimitrov  turut mara ke aksi kelompok 16 terbaik ini apabila menewaskan Joao Sousa, 2-6 6-3 6-4.

Bagaimanapun pemain Bulgaria yang berada di ranking ke-19 dunia ini terpaksa bekerja keras untuk mengetepikan pemain Portugal berusia 26 tahun itu dalam tempoh dua jam 7 minit.

Dimitrov bakal bertemu Benjamin Becker dari Jerman sebelum pukul 6 petang Jumaat.

Terbuka Malaysia Tenis, MOKL

Artikel Lain