ENGLAND menjadi satu-satunya pasukan yang tidak pernah kalah dalam 10 perlawanan peringkat kelayakan Euro 2016 setelah perlawanan penutup tirainya dalam Kumpulan E menyaksikan pasukan itu membelasah tuan rumah, Lithuania 3-0. Skuad di bawah bimbingan Roy Hodgson itu yang telah melayakkan diri ke Euro 2016 dan akan menempah tiket ke Perancis sejak perlawanan ketujuh, menang besar di Stadium Federasi Bola Sepak Lithuania (LFF) di Vilnius, awal pagi Selasa. England menjadi juara Kumpulan E dengan mendapat mata penuh 30. Gol disumbangkan oleh Ross Barkley (29’), Giedrius Arlauskis (gol sendiri 35’), dan Alex Oxlade-Chamberlain (62’). Dalam perlawanan lain, Switzerland, yang juga telah mara ke pusingan final Euro 2016 sebelum perlawanan ke-10 bermula, menang ke atas tuan rumah Estonia dengan skor tipis 1-0 selepas gol sendiri oleh Ragnar Klavan pada masa kecederaan babak kedua. Dalam saingan Kumpulan E lain, Slovenia mengalahkan tuan rumah San Marino dengan skor 2-0 melalui dua gol yang disumbangkan Botjan Cesar (54’) dan Nejc Pecnik (74’).