suria

PBSNT Akan Nilai Prestasi Sebelum Kontrak Pemain Disambung

Aksi salah seorang pemain Terengganu Issey Nakajima (kiri) dalam saingan Liga Maaysia baru-baru ini.

KUALA TERENGGANU: Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan menilai semula kedudukan dan prestasi pemain skuad Terengganu sebelum menyambung kontrak mereka pada musim depan.

Ia berikutan prestasi mereka dikatakan kurang berkesan dalam membantu kejayaan pasukan itu musim ini termasuklah "kekaburan" skuad berkenaan dalam melepasi sekurang-kurangnya ke suku akhir saingan Piala Malaysia.

Presiden PBSNT Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata dalam hal tersebut, pihaknya akan mengambil semua pandangan termasuklah daripada jawatankuasa penilaian, jawatankuasa pengurusan serta jurulatih.

"Semua ini kita akan bincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa laporan prestasi pertandingan yang akan bersidang pada akhir bulan ini," katanya kepada Bernama di sini, Selasa.

Menurut Wan Ahmad Nizam, antara nama pemain yang disebut-sebut akan dinilai itu termasuklah Abdul Manaf Mamat dan Norshahrul Idlan Talaha yang masing-masingakan tamat kontrak akhir tahun ini.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Nizam berkata peluang Terengganu dalam perebutan melayakkan diri ke saingan seterusnya pada Piala Malaysia musim ini mungkin tertutup sekiranya mereka kalah dalam pertemuan dengan Kedah di sini pada 17 Oktober ini.

Terengganu menghuni tangga terbawah dalam kumpulan A dengan hanya satu mata diraih setelah mengharungi tiga perlawanan setakat ini.

"Jika nak ke saingan seterusnya, kita harus menang kesemua baki perlawanan untuk menghidupkan kembali peluang," katanya yang masih menaruh harapan pemainTerengganu mampu melakukan kebangkitan.

PBSNT

Artikel Lain