KUALA LUMPUR: Masalah kecergasan pemain negara terus menjadi penghalang mereka membuktikan kemampuan sebenar dan ia perlu segera ditangani Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen. Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Norza Mohamad Zakaria berkata tahap kecergasan pemain negara ketika ini masih rendah berbanding pemain dari Jepun, Korea Selatan dan Hong Kong. "Ahli Majlis BAM telah mendengar pembentangan oleh Morten dan beliaumenjelaskan kecergasan menjadi masalah utama yang dihadapi pemain. "Kita mahu pemain lebih berusaha meningkatkannya. BAM dan ISN (Institut Sukan Negara) akan membantu pemain meningkatkan tahap kecergasan dan kekuatan fizikal mereka," katanya yang ditemui selepas mesyuarat Majlis BAM, semalam. Norza berkata perkara paling penting ketika ini adalah pemain itu sendiri perlu memastikan mereka tidak hanya sekadar meraih tiket ke Sukan Olimpik, sebaliknya peluang meraih pingat di temasya sukan itu menjadi keutamaan. Mengulas prestasi membimbangkan jaguh negara Datuk Lee Chong Wei, Norza mengakui halangan bagi bekas pemain nombor satu dunia itu bukan lagi setakat bintang China, Lin Dan dan Chen Long tetapi juga barisan pemain muda lain seperti Kento Momota dari Jepun. Prestasi Chong Wei sejak kebelakangan ini amat membimbangkan apabila dia tersingkir awal dalam kejohanan Siri Super Terbuka Korea Selatan, Terbuka Jepun dan Terbuka Denmark baru-baru ini. "Untuk Chong Wei lebih berjaya dalam perlawanan seterusya, dia memerlukan rakan 'sparring' yang kompetitif dan kami akan berbincang dengan jurulatihnya dan Morten," katanya. Norza berkata Chong Wei yang kini berada dalam kedudukan ranking ke-25 dunia tidak berdepan masalah meraih tiket ke Sukan Olimpik namun beliau percaya semua pihak dalam BAM akan memastikan program persiapannya ke Rio tidak akan terjejas. Chong Wei merupakan pemenang pingat perak untuk dua edisi terakhir Sukan Olimpik iaitu London 2012 dan Beijing 2008. Badminton masih lagi menjadi sandaran mendapatkan pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik tahun depan.