suria

Cai Lin, Saritha Sasar Lakar Kemenangan Lebih Baik

Khoo Cai Lin

PUTRAJAYA: Atlet renang negara, Khoo Cai Lin berharap dapat melayakkan diri dalam acara 800m gaya bebas di Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil tahun depan.

Cai Lin, 26, yang mewakili negara dalam acara 400m gaya bebas di Sukan Olimpik itu berkata, bagi mencapai misinya, dia kini sedang  aktif menjalani latihan.

Selain itu, dia juga mahu mencipta rekod baru dan berharap dapat memperbaiki catatan masanya.

"Catatan masa sebelum ini dalam acara 400m gaya bebas, saya dapat empat minit 17.79 saat sahaja.

"Jadi saya berhasrat untuk beraksi dalam acara 800m gaya bebas di Olimpik nanti," katanya selepas menerima insentif daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), di sini, Selasa.

Pada majlis itu, Cai Lin menerima insentif sebanyak RM4,250 selepas pencapaian cemerlangnya beraksi dalam Sukan Universiti Asean (AUG) di Palembang, Indonesia.

Penuntut dalam ijazah berkembar Perhubungan Awam dan Pemasaran di Taylor's University menegaskan untuk tidak akan sertai kejohanan sehingga hujung tahun ini untuk memberi fokus dalam pelajaran.

"Saya perlu urus masa untuk fokus dalam belajar dan pada masa sama akan menjalani latihan untuk kejohanan seterusnya," ujarnya lagi.

Tidak ketinggalan atlet memanah negara, Saritha Cham Nong yang turut menerima insentif tertinggi daripada KPT sebanyak RM6,000.

Pencapaian cemerlang pasukan memanah compund wanita negara tidak dapat disangkal lagi selepas memenangi satu pingat emas di AUG 2014 dan satu pingat perak di Kejohanan Universiti Sedunia (WUC).

Saritha menyasarkan untuk memenangi pingat emas dalam kejohanan akan datang.

"Sudah tentu saya ingin menang pingat emas untuk kejohanan seterusnya," katanya.

Selain itu dia akan turut memberi perhatian dalam pelajaran sebelum kejohanan seterusnya bermula awal tahun depan.

"Sekarang saya hanya berlatih macam biasa tetapi akan lebih fokuskan dalam pelajaran," jelas pelajar ijazah Pembangunan Manusia di Universiti Putra Malaysia (UPM).

KPT, Sukan, Renang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain