suria

Pesuruhjaya Sukan Perlu Lebih Masa Sebelum Buat Keputusan

Khairy Jamaluddin
PUTRAJAYA: Kajian menyeluruh terhadap implikasi antarabangsa menjadi sebab Pesuruhjaya Sukan tidak dapat membuat keputusan segera berhubung insiden kekecohan penonton di Stadium Shah Alam semasa Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 antara Malaysia dan Arab Saudi, bulan lepas.

"(Pesuruhjaya Sukan) Datuk Zaiton Othman ada bertemu saya dan meminta sedikit masa lagi sebelum membuat keputusan. Kita tidak ada apa-apa keperluan mendesak untuk membuat keputusan pada masa ini," kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Beliau yang sebelum itu menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kementeriannya dan Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn Bhd (MMHE), berkata Zaiton memerlukan sedikit masa lagi bagi memperhalusi segala aspek termasuk implikasi daripada badan sukan antarabangsa.

Khairy berkata pada masa ini, Zaiton menghadapi kesulitan dalam membuat keputusan mengenai hukuman yang wajar dikenakan terhadap Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) berikutan insiden kekecohan itu.

Beliau berkata segala keputusan terhadap FAM ekoran insiden itu perlu dibuat sendiri oleh Pesuruhjaya Sukan.

"Mengikut Akta Pembangunan Sukan, keputusan itu perlu dibuat oleh Pesuruhjaya Sukan. (Sementara) saya adalah sebagai badan rayuan.

"Sekiranya keputusan rayuan tidak dipersetujui oleh persatuan sukan yang dikenakan tindakan, mereka boleh merayu kepada saya," kata Khairy.

Mengambil contoh tindakan Persekutuan Bola sepak Antarabangsa (FIFA) menggantung Persatuan Bola sepak Kuwait akibat campur tangan kerajaan, Khairy tidak mahu apa-apa keputusan yang bakal dibuat itu dianggap sebagai campur tangan kerajaan.

"Datuk Zaiton perlu buat keputusan sendiri dan saya tidak boleh mempengaruhi keputusan beliau," kata Khairy.

Untuk rekod, FAM telah diberi tempoh 14 hari bermula 9 Sept lepas untuk membalas surat tunjuk sebab kepada Pesuruhjaya Sukan berhubung insiden kekecohan pada 8 Sept itu.

Pada 22 Sept, FAM membalas surat tunjuk sebab berkenaan. Susulan insiden itu, FIFA pada 5 Okt lepas mengumumkan hukuman terhadap FAM.

Selain didenda RM180,000 dan amaran serta kemenangan percuma 3-0 kepada Arab Saudi, Malaysia turut dihukum bermain satu perlawanan tanpa kehadiran penyokong apabila menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 17 Nov ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Van Gaal Dakwa Martial Bodoh

Artikel Lain