PENAMPILAN pertama Jurgen Klopp bersama Liverpool di Anfield berakhir dengan kekecewaan apabila pasukan itu sekadar terikat seri 1-1 dengan Rubin Kazan pada perlawanan peringkat Kumpulan B Liga Europa, awal pagi Jumaat. Walaupun kelab dari Rusia itu beraksi dengan hanya 10 pemain, anak buah Klopp terpaksa bekerja keras untuk mencari gol penyamaan. Rubin Kazan mendahului seawal minit ke-15 menerusi jaringan Marko Devic yang menyudahkan hantaran Oleg Kuzmin. Liverpool terlepas beberapa peluang untuk menyamakan jaringan lebih awal sebelum Oleg Kuzmin dilayangkan kad kuning kedua kerana mengasari Emre Can pada minit ke-36. Namun, The Reds bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-37 menerusi jaringan Can dari jarak dekat. Liverpool dilihat begitu terdesak untuk mencari gol kemenangan dan percubaan Christian Benteke nyaris menerjah gawang lawan ketika perlawanan berbaki 10 minit. Namun, kedudukan kekal seri sehingga wisel penamat dibunyikan. Pasukan tuan rumah itu menduduki tempat kedua dalam Kumpulan B, ketinggalan empat mata di belakang pendahulu FC Sion selepas keputusan seri tersebut.