suria

MotoGP: Pedrosa Catat Masa Terpantas Dalam Sesi Latihan Bebas Pertama

Dani Pedrosa.

SEPANG: Penunggang Repsol Honda Team, Dani Pedrosa mencatatkan masa terpantas dalam sesi latihan bebas pertama Grand Prix Motosikal Malaysia 2015 di Litar Sepang di sini Jumaat.

Penunggang Sepanyol itu merekodkan masa dua minit 00.412 saat, diikuti rapat Jorge Lorenzo (Movistar Yamaha MotoGP) dan Marc Marquez (Repsol Honda Team), masing-masing mencatat 2:00.622s dan 2:00.736s.

Pendahulu kedudukan pelumba MotoGP, Valentino Rossi (Movistar Yamaha MotoGP), mencatat masa keempat terpantas pada 2:00.915s.

Dalam kelas Moto2, Jonas Folger dari AGR Team merekod masa terpantas 2:07.720s manakala penunggang Malaysia Azlan Shah Kamaruzaman dari Idemitsu Honda Team Asia mencatat 2:08.503s bagi menduduki tempat kelapan.

Seorang lagi penunggang negara dalam kelas Moto2, Hafizh Syahrin Abdullah (Petronas Raceline Malaysia), merekod masa ke-17 terpantas, iaitu 2:09.276s diikuti penunggang wild card Malaysia dalam kategori Moto2, Ramdan Rosli (Petronas AHM Malaysia), mendapat masa ke-29 terpantas 2:13.308s.

Dalam kelas Moto3, penunggang Leopard Racing Danny Kent mencatat masa terpantas dalam latihan pertama iaitu 2:13.715s.

Penunggang negara, Zulfahmi Kahairuddin dari Drive M7 SIC, meraih masa ke-10 terpantas pada 2:15.053s. - BERNAMA

Dani Pedrosa, MotoGP

Artikel Lain