suria

Yorke Tawar Diri Mahu Uruskan Aston Villa

DWIGHT Yorke berminat untuk menggantikan tempat Tim Sherwood yang dipecat Aston Villa Ahad lalu.

Sherwood dipecat selepas Aston Villa tewas 2-1 kepada Swansea yang menyaksikan kekalahan keenam berturut-turut sekaligus meletakkan skuad itu di kedudukan terakhir liga.

David Moyes dan Remi Garde berada dalam senarai untuk mengisi jawatan kosong itu.

Namun Yorke meluahkan keyakinan untuk mengubah nasib kelab yang pernah menaikkan namanya sebelum ini.

Yorke,43, pernah beraksi di Midlands pada tahun 1989 hingga 1998 dengan menjaringkan 97 gol.

Aksi Yorke (kiri) ketika beraksi bersama Aston Villa sebelum ini.

"Orang akan memanggil saya 'gila' kerana meletak nama untuk jawatan itu. Tetapi saya telah lama terlibat dalam bola sepak dan bermain dengan Aston Villa selama 10 tahun. 

"Saya telah melihat keadaan di kelab dan nampak ke mana arah mereka - ia situasi yang sangat teruk.

"Villa memerlukan sesuatu yang boleh boleh mengubah mereka dengan segera. Saya mempunyai hubungan yang baik dengan peminat-peminat kelab di sana dan dapat rasakan peluang ini perlu diambil kerana mereka memerlukan perkara yang menarik," jelasnya yang pernah menyarung jersi Manchester United 1998-2002.

Yorke merekodkan 250 penampilan di Villa turut mengakui kelab itu sudah lama berdepan dengan situasi buruk dan bukan lagi menjadi kelab yang digeruni di Midlands.

"Mereka sepatutnya berada di tempat yang lebih baik dan sepatutnya menjadi sebuah kelab besar di Midlands, tetapi sekarang langsung tidak nampak," tambahnya.

Dengan 74 kap antarabangsa untuk Trinidad and Tobago, Yorke bertanggungjawab mengendalikan skuad negaranya sebagai pembantu jurulatih ketika aksi kelayakan Piala Dunia 2010.

"Orang akan menilai saya kerana tidak mempunyai pengalaman, tetapi kita sendiri lihat apa yang berlaku kepada mereka yang mempunyai pengalaman dan bekerja keras untuk menyelamatkan jawatan sendiri.

"Saya yakin dengan masa yang ada ini ia mampu mengubah kedudukan skuad di tempat yang lebih selamat. Ia hanya terpulang kepada pemilik kelab untuk memberi peluang ini dan memenuhi impian saya sebagai pengurus muda di Villa," katanya.

Dwight Yorke, Aston Villa

Artikel Lain