suria

Goh/Tan Mara Ke Suku Akhir GP Emas Terbuka Bitburger

KUALA LUMPUR: Pasangan negara, Goh V Shem/Tan Wee Kiong mara ke suku akhir kejohanan badminton Grand Prix (GP) Emas Terbuka Bitburger di Saarlandhalle Saarbruckenm, Jerman malam Khamis.

Goh/Tan layak selepas menewaskan pasangan Taiwan, Lin Chia Yu/Wu Hsiao Lin 21-16, 16-21, 21-13 di pusingan kedua dalam masa 45 minit.

Di suku akhir pada Jumaat, mereka akan menentang pilihan keenam, Takeshi Kamura/Keigo Sonoda dari Jepun yang mara selepas menewaskan beregu tuan rumah, Michael Fuchs/Johannes Schoettler 21-19, 21-11.

Namun, laluan pemain perseorangan wanita negara, Tee Jing Yi terhenti selepas tewas 18-21, 17-21 kepada pilihan keempat dari Jepun, Akane Yamaguchi di pusingan kedua.

Pemain perseorangan negara, Chong Wei Feng pula akan beraksi dalam aksi pusingan ketiganya awal pagi Jumaat waktu Malaysia selepas menundukkan pemain Jerman, Lukas Schmindt 21-11, 21-18 di pusingan kedua.

Tiga lagi wakil negara iaitu dua beregu campuran, Chan Peng Soon/Goh Liu Ying, Chow Mei Kuan/Wong Fai Yin dan beregu wanita, Vivian Hoo/Woon Khe Wei akan beraksi di pusingan kedua, juga awal pagi Jumaat waktu Malaysia.

Chan/Goh mara selepas menundukkan Gennadiy Natarov/Natalya Voytsekh dari Ukraine 21-11, 21-11 dalam aksi pembukaan mereka.

Mereka akan menentang pasangan tuan rumah Peter Kaesbauer/Franziska Volkmann yang mara selepas mendapat kemenangan percuma daripada pasangan Perancis, Ronan Labar/Emilie Lefel.

Chow/Wong turut layak ke pusingan kedua selepas mendapat kemenangan percuma daripada Nico Ruponen/Amanda Hogstrom dari Sweden. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain