KUALA LUMPUR: Pemain negara, Mohd Nafiizwan Adnan melangkah ke pusingan kelayakan akhir Kejohanan Skuasy Klasik Qatar 2015 yang berlangsung di Kompleks Tenis dan Skuasy Antarabangsa Khalifa di Doha, Qatar. Dalam perlawanan kelayakan pertama lewat Khamis, pemain berusia 29 tahun berasal dari Kuala Terengganu itu hanya mengambil masa 27 minit mengetepikan pemain Switzerland, Jonas Daehler dalam keputusan yang tidak dijangka; menang 11-9, 11-5, 11-7 menurut laman web skuasy; www.squashsite.co.uk. Mohd Nafiizwan akan menentang pemain veteran Finland, Olli Tuominen lewat Jumaat bagi menentukan pemain yang berjaya mara ke undian utama kejohanan. Tuominen mara ke pusingan kelayakan akhir selepas lawannya, pemain tuan rumah, Ahmed Mohammed Al Tamimi memberi kemenangan percuma. Bagi kategori wanita, ratu skuasy negara dan pemain nombor dua dunia, Datuk Nicol Ann David akan memulakan perlawanan lewat Sabtu, untuk mempertahankan kejuaraannya menentang pemain Guyana Nicolette Fernandes. Nicol memenangi kejuaraan itu lima kali -- 2007 (pada April dan Oktober), 2008, 2010 dan 2011. Untuk rekod, kategori wanita kejohanan itu tidak diadakan pada 2012 hingga 2014 manakala kategori lelaki tidak dipertandingkan tahun lepas berikutan Kejohanan Skuasy Dunia 2014 yang berlangsung di negara sama. - BERNAMA