SALT LAKE CITY: Tiger Woods menjalani prosedur susulan pada bahagian belakang badannya, sebulan selepas menjalani pembedahan untuk kali kedua dalam tempoh setahun setengah. Perkara tersebut diumumkan dalam laman web milik bekas pemain nombor satu dunia itu di www.tigerwoods.com. Woods menjalani prosedur susulan itu untuk memulihkan rasa tidak selesa di belakang badannya di Park City Utah. Prosedur itu dikendalikan neurosurgeon, Dr. Charles Rich. Proses tersebut berjalan dengan lancar dan Woods kini sedang berehat. "Ia adalah antara perkara yang perlu dilakukan. Saya dirawat oleh pasukan doktor yang berwibawa dan saya akan kembali secepat mungkin," katanya. Woods yang kini berada di ranking 351 dunia, menjalani pembedahan pada Mac 2014. Beliau menjalani pembedahan susulan pada 16 September lalu bagi memperbetulkan serpihan tulang belakang yang menekan urat sarafnya. Woods dijangka menghadiri dan menjadi hos pada kejohanan Hero World Challenge di Albany, Bahamas yang dijadualkan pada 2 hingga 6 Disember. "Saya tidak sabar untuk menghadiri acara tersebut," kata Woods.