suria

Ribuan Penyokong Sambut Kepulangan Wira JDT

Para pemain JDT diberi sambutan meriah ketika berarak menaiki bas bersama Piala AFC mengelilingi pusat bandaraya malam Selasa. Kelihatan Mohd Aidil Zafuan Abd Razak menjulang Piala AFC. -fotoBERNAMA

JOHOR BARU: Kejayaan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) merangkul kejuaraan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Sabtu lepas terus diraikan apabila ribuan penyokong sanggup membanjiri Dataran Bandaraya Johor Baharu malam Selasa bagi menyambut kepulangan wira mereka dari Tajikistan.

Majlis sambutan itu bermula kira-kira 8 malam, namun, para penyokong skuad Harimau Selatan dilihat mula bertandang ke dataran terbabit sejak 5 petang.

Tidak mengira tua atau muda, kebanyakan penyokong dilihat memakai baju jersi JDT sambil membawa sepanduk dan bendera bagi menyatakan kepada sokongan kepada pasukan pujaan mereka.

Yang hadir pada sambutan itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Datuk Ismail Karim, Bendahari PBNJ Datuk Abd Latif Bandi dan Speaker Dewan Undangan Negeri Johor Tan Sri Mohamad Aziz.

Antara ribuan penyokong yang hadir adalah bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga Anggota Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Terdahulu, bas yang membawa pemain JDT bersama Piala AFC berarak di beberapa kawasan tumpuan untuk membolehkan orang ramai melihat secara lebih dekat piala yang dimenangi.

Perarakan bermula pada 8 malam dari Stadium Tan Sri Hassan Yunos, di Larkin menyusuri Jalan Tun Razak-Jalan Wong Ah Fook-Kompleks Galleria@Kotaraya-Lot 1-Hospital Sultanah Aminah dan membuat pusingan U di Gerbang Istana Bukit Serene lalu berakhir di Dataran Bandaraya Johor Baru.

Pada aksi final di Stadium Republican Central di Dushanbe, Tajikistan, 31 Oktober lepas, JDT yang juga juara Liga Super melakar sejarah baharu buat arena bola sepak tanah air apabila menundukkan juara bertahan Liga Tajikistan, FC Istiklol, 1-0.

Berucap pada majlis itu, Ismail berkata kerajaan negeri Johor akan memberikan ganjaran kepada para pemain dalam masa terdekat bagi mengiktiraf kejayaan mereka merangkul Piala AFC.

"Saya juga menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang sudi mencemar duli bersama-sama turun menyaksikan perlawanan akhir di Tajikistan.

"Tidak ketinggalan terima kasih tidak terhingga kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang telah membawa pembaharuan dalam mencetus fenomenabaharu bola sepak negara," katanya.

Beberapa gerai didirikan di sepanjang tepi dataran bagi membolehkan orang ramai memiliki koleksi barangan JDT seperti jersi dan minuman bertenaga.

Majlis malam Selasa turut dimeriahkan dengan pertunjukan bunga api dan persembahan nyanyian beberapa anak tempatan termasuk juara program Gegar Vaganza, Ayai. - BERNAMA


JDT, AFC

Artikel Sebelum

Artikel Lain