KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, R.Satheishtharan terus menampilkan aksi cemerlang apabila mara ke pusingan ketiga Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2015 di Lima, Peru pada Rabu. Pemain pilihan ke-10 itu menewaskan Oscar Guo dari New Zealand 21-16, 22-20 pada pusingan kedua, demikian menurut laman sesawang kejohanan www.bwflima2015.com. Turut mengiringi beliau ke pusingan seterusnya ialah Yeoh Seng Zoe yang mengetepikan cabaran pemain Itali, Lukas Osele 21-8, 21-10, manakala pemain perseorangan remaja utama negara, Cheam June Wei, yang juga pilihan kedua,menumpaskan U Ieong Iek dari Macau 21-10, 21-11. Seorang lagi pemain Malaysia, Lee Zii Jia pula tersingkir apabila tumpas 17-21, 14-21 kepada pilihan kesembilan, Kantaphon Wangcharoen dari Thailand. Sementara itu, dua pasangan beregu lelaki Malaysia -- Goh Sze Fei/Tan JinnHwa dan Aaron Teng Fong Chia/Wooi Yik Soh mara ke pusingan keempat apabila mereka berjaya menumpaskan lawan masing-masing. Goh/Tan, yang juga pilihan ke-11 menewaskan beregu Republik Dominica, Cesar Adonis Brito Gonzalez/Angel A rgenis Marinez Ulloa 21-11, 21-8, manakala Teng/Wooi pula mempamerkan aksi bertenaga untuk mengalahkan pilihan ke-10 dari England, Matthew Clare/Ben Lane 21-14, 21-17. Dalam acara perseorangan wanita, dua pemain Malaysia turut menempah slot kepusingan keempat selepas mereka menumpaskan lawan masing-masing. Pemain perseorangan remaja wanita utama negara, Goh Jin Wei yang juga pilihan ke-10, mengalahkan Ye Rim Shim dari Korea Selatan 21-5, 21-9, sementara Lee Ying Ying mencatat kemenangan 21-13, 21-9 ke atas pemain Perancis, Yaelle Hoyaux. Cabaran Malaysia dalam acara beregu wanita, bagaimanapun berakhir apabila wakil tunggal negara, Anna Ching Yik Cheong/Teoh Mei Xing tumpas 15-21, 24-26 kepada beregu Jepun, Nao Ono/Yukiko Takahata.