CRISTIANO Ronaldo dikaitkan bakal kembali ke Manchester United tetapi kini akhbar Sepanyol mendakwa pemilik Chelsea, Roman Abramovich cuba untuk mendapatkan pemain sensasi itu. Bintang Real Madrid itu menjadi sasaran terbaharu Abramovich untuk memperbaiki prestasi buruk pasukan tersebut pada musim ini. Jutawan Rusia itu dikatakan bersedia membayar melebihi 100 juta euro (RM474 juta), bayaran yang membolehkan Ronaldo diangkat sebagai pemain termahal dunia buat kali kedua sepanjang kariernya. Menurut akhbar tersebut, Chelsea akan menjual beberapa pemainnya untuk menampung pembelian Ronaldo. Nemanja Matic dan Oscar antara yang bakal dijual selain Eden Hazard yang dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid baru-baru ini. United, bekas kelab Ronaldo pernah berusaha untuk membawanya kembali pada 2013 tetapi pemain berkenaan menyambung kontraknya selama lima tahun di Bernabeu. Ronaldo, 30, kini mengakui gembira di Real Madrid dan tidak menolak kemungkinan akan kembali ke Liga Perdana Inggeris.