PERLAWANAN persahabatan antara England dan Perancis akan tetap dijalankan seperti jadual walaupun berlaku tragedi berdarah di Paris. Sebelum ini perlawanan di Stadium Wembley itu dikatakan terpaksa ditunda kesan daripada insiden di ibu negara Perancis itu. Serangan pengganas pada Jumaat itu mengorbankan sekurang-kurangnya 128 nyawa, termasuk tiga daripadanya di kawasan Stede de France yang menjadi lokasi perlawanan Perancis - Jerman. Beberapa jam kemudian Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF) mengumumkan perlawanan dengan England akan diteruskan, kecuali mendapat bantahan daripada kakitangan atau jurulatih. Kenyataan itu disambut oleh Pengerusi Persatuan Bola Sepak England, Greg Dyke. "Saya melahirkan rasa sedih dan simpati kami terhadap keluarga dan rakan mangsa pembunuhan di Paris. "Selepas berunding dengan FFF dan kerajaan British, kami memutuskan perlawanan persahabatan ini diteruskan," katanya. Pertemuan Perancis - England dijadual diadakan pada Selasa. Sementara itu FFF mengumumkan sidang media dan latihan terbuka skuad Perancis dibatalkan. Presiden FFF, Noel Le Great berkata, skuad negara itu akan berlatih secara tertutup di pusat latihan mereka di Clairefontaine. Pintu masuk ke Stade de France adalah salah satu lokasi sasaran serangan yang mengorbankan ratusan nyawa itu. Dua letupan dapat didengari ketika Perancis bermain menentang Jerman dan FFF kemudian mengumumkan, tiga maut di stadium akibat letupan itu. Beberapa kecederaan turut dilaporkan. Perlawanan itu diteruskan dan Perancis mengatasi Jerman 2 - 0.