IRELAND menempah tiket ke Euro 2016 setelah menang 2-0 ke atas Bosnia Herzegovina dalam perlawanan play-off kedua di Stadium Aviva, awal pagi Slasa. Dua gol Ireland disumbangkan oleh Jonathan Walters, sekali gus menyaksikan pasukannya menang dengan agregat 3-1. Berdasarkan statistik, Ireland dilihat tidak banyak menyerang. Menurut UEFA, pasukan ini cuma menguasai 36 peratus permainan dan melancarkan 30 serangan berbahaya berbanding Bosnia yang melakukan 46 serangan berbahaya. Namun, Ireland yang bertindak sebagai tuan rumah tampil lebih efektif. Mereka hanya melepaskan dua tendangan ke arah gawang lawan, tetapi berjaya menghasilkan gol. Gol pertama dicipta menerusi sepakan penalti pada minit ke-24. Pengadil menghadiahkan penalti selepas tindakan Senad Lulic yang menyentuh bola dengan tangan. Jonathan Walters menggalas tugas dengan menyempurnakan tendangan bola ke sebelah kanan Asmir Begovic. 10 minit kemudian Bosnia cuba mendapatkan gol penyamaan. Miralem Pjanic melepaskan umpan dan disambut oleh Edin Dzeko, tetapi bola melambung. Keputusan 1-0 kekal sehingga wisel tamat separuh masa pertama ditiup. Pasukan tetamu terus tertekan masuk babak kedua untuk mendapatkan gol penyamaan. Sebaliknya, melalui tendangan bebas, Robbie Brady membawa bola ke kotak penalti pada minit ke-70. Percubaan kurang sempurna Ognjen Vranjes untuk menghalang bola membuka peluang untuk Walters sekali lagi membolosi gawang Bosnia. Keputusan 2-0 kekal sehingga wisel penamat. Dengan keputusan ini, Ireland mempertahankan rekod tidak pernah kalah di kandang sendiri sejak September 2013.