suria

Korea Terima Kejutan, Pakistan Muncul Juara Kumpulan

KUANTAN: Bangladesh mencetuskan sensasi pada Kejohanan Hoki Piala Remaja Asia 2015 apabila mengejutkan Korea Selatan 2-0 pada perlawanan Kumpulan B di Stadium Hoki Kuantan di sini Selasa.

Korea Selatan, yang sebelum ini diramal akan menduduki tangga kedua kumpulan, menerima tamparan hebat apabila Bangladesh membuka jaringan awal menerusi Md Sarower Hossain pada minit ke-25.

Pada babak kedua, Bangladesh mengekalkan prestasi konsisten apabila mengesahkan mata berharga menerusi jaringan kedua oleh Milon Hossain pada minit ke-46.

Pencapaian di luar dugaan itu membolehkan Bangladesh menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga kedua dengan mengumpul enam mata, diikuti Korea Selatan dengan tiga mata.

Sementara itu, bekas juara tiga kali, Pakistan berpesta gol apabila menumbangkan Oman 7-1, sekali gus mengekalkan rekod bersih untuk menungguli kumpulan tersebut.

Pakistan membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi jaringan padang oleh Muhammad Dilber.

Selang dua minit, Oman bangkit untuk menyamakan kedudukan menerusi Shafi Al Shatar yang melakukan jaringan padang.

Pakistan bagaimanapun kembali mendahului di minit kelapan melalui pukulan sudut penalti yang dihasilkan oleh Abu Mahmood.

Pasukan kendalian Tahir Zaman itu menokok lagi jaringan menerusi Muhammad Bilal Qadir dengan gol padang di minit ke-15, menjadikan keputusan 3-1.

Pada minit ke-28, Abu Mahmood sekali lagi menambah derita Oman dengan meledakkan gol melalui pukulan sudut penalti sebelum Muhammad Atiq menutup babak pertama dengan menjaringkan gol kelima buat Pakistan di minit ke-34 menerusi gol padang.

Pada babak kedua, Pakistan semakin garang melancarkan serangan ke arah kubu Oman yang dilihat sukar untuk memberi saingan.

Muhammad Dilber akhirnya berjaya mencipta hatrik buat Pakistan apabila meledakkan dua lagi gol di minit ke-62 dan 65 melalui gol padang dan pukulan sudut penalti.

Pakistan mengumpul sembilan mata maksimum manakala Oman tercorot dalam kumpulan selepas gagal memperoleh sebarang mata selepas tiga perlawanan peringkat kumpulan. - BERNAMA

Artikel Lain