suria

Sarawak Isi Slot Terakhir Saingan Suku Akhir Piala Malaysia

Pemain JDT, Mohd Nazrin Mohd Nawi, diasak dua pemain Sarawak Mohd Dzulazlan Ibrahim dan Hairol Moktar pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin malam Sabtu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Sarawak menjadi pasukan terakhir yang mengesahkan tiket ke saingan suku akhir Piala Malaysia 2015 yang bakal berlangsung Selasa ini (24 November). 

Keputusan seri 1-1 yang dicatat oleh skuad 'Ngap Sayot' ke atas juara kumpulan B, Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi terakhir kumpulan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam Sabtu menyaksikan mereka muncul naib juara dengan kutipan lapan mata. 

Pada aksi berkenaan, skuad Harimau Selatan yang sudah mengesahkan tiket suku akhir lebih awal, membuka tirai jaringan menerusi sentuhan penyudah Amirulhadi Zainal pada minit ke-37 sebelum Patrick Nyema Gerhardt menyamakan kedudukan untuk Sarawak pada minit ke-48. 

Dalam pada itu, kemenangan tipis 4-3 yang dilakar Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke atas Perak di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi gagal membantu mereka layak ke saingan suku akhir. 

Empat jaringan skuad 'The Gladiators' dijaringkan oleh Mario Karlovic pada minit ke-11 dan minit ke-58, Norfazly Alias (minit ke-31) dan Abdulafees Salam pada minit ke-35. 

Perak pula meraih gol menerusi Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri pada minit ke-44 selain dua gol daripada Charles Chad Souza hasil sepakan penalti pada minit ke-61 dan gol padang pada minit ke-88. 

Sebelum ini, tujuh pasukan sudah mengesahkan tiket ke saingan suku akhir iaitu wakil Singapura, Lions XII dan Kedah dari kumpulan A, JDT (kumpulan B), Selangor dan Felda United (kumpulan C) serta PKNS FC dan Pahang dari kumpulan D. 

Aksi suku akhir pertama, Selasa ini bakal menyaksikan pertembungan antara Pahang yang juga juara bertahan melayan kunjungan Lions XII di Stadium Darul Makmur, Kuantan; manakala Kedah berdepan PKNS FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar. 

Dua perlawanan suku akhir pertama yang lain membabitkan pertemuan JDT menentang Felda United di Stadium Majlis Perbandaran Selayang dan antara Sarawak dan Selangor di Stadium Negeri Kuching. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain