suria

Badrul Hisyam Akan Perbaiki Kelemahan Bermula Lambat

JASIN: Raja Pecut Sekolah Asean, Badrul Hisyam Abdul Manap akan memperbaiki kelemahan bermula lambat pada 20 meter pertama lariannya untuk terus mencapai rekod cemerlang ketika beraksi di kejohanan yang disertai pada masa hadapan.

Jurulatih pecut Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail (SSTMI) Mohd Poad Md Kassim berkata kelemahan itu akan cuba diatasi melalui latihan secara lebih sistematik dan berterusan.

"Apa yang dikecapi Badrul pada hari ini adalah usaha jangka masa panjang dan banyak kelemahan yang telah berjaya diatasi Badrul dalam tempoh 10 tahun saya melatihnya.

Kita percaya sekiranya Badrul mampu mengatasi kelemahan itu dia mampu mencatat masa yang lebih baik dalam setiap kejohanan yang disertai serta memecah rekod sedia ada," katanya kepada pemberita selepas majlis menyambut kepulangan Badrul Hisyam di rumahnya di Kampung Batu Gajah Pasir di sini, Khamis.

Majlis itu dihadiri lebih 100 orang anggota keluarga, penduduk kampung termasuk Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Rambai yang juga Exco Pertanian dan Pembangunan Usahawan Melaka Datuk Hasan Abdul Rahman.

Badrul Hisyam melakar sejarah memadam rekod 17 tahun acara 100 meter milik Watson Nyambek dengan catatan 10.29s, 0.01 saat lebih pantas daripada rekod milik Watson, di Kejohanan Sukan Sekolah Asean 2015 di Brunei pada 23 Nov, lepas.

Mengulas lanjut, Mohd Poad berkata dia juga akan membantu Badrul Hisyam memperbaiki rekod kejohanan dalam semua acara yang disertai dari semasa ke semasa.

Beliau berkata ini kerana Badrul Hisyam dilihat mempunyai potensi yang besar dalam dunia olahraga negara dan antarabangsa sekiranya bakatnya terus digilap.

Katanya Badrul Hisyam memerlukan lebih banyak pendedahan dan pengalaman untuk beraksi dalam kejohanan antarabangsa sebagai persediaan menghadapi 'Asian Junior Indoor Game' di Qatar yang dijangka berlangsung pada Februari tahun hadapan.

"Persediaan dan latihan yang sistematik juga menjadi keutamaan bagi mengelak Badrul Hisyam mengalami sebarang kecederaan seperti yang dialaminya ketika Sukan SEA di Singapura pada Jun lepas," katanya.

Mohd Poad berkata antara penekanan tersebut termasuk memastikan Badrul Hisyam menjalani fasa yang dipanggil 'conditioning' bagi mengelak berlaku kecederaan padanya.

Beliau berkata jaguh pecut muda negara itu juga perlu mencapai berat badan yang ideal iaitu antara 58 hingga 60 kilogram berbanding 55 kilogram pada masa sekarang.

"Pakar pemakanan Institut Sukan Negara telah menyediakan menu yang sesuai untuknya tetapi mungkin disebabkan kadar metabolismenya tinggi maka berat tersebut belum dapat dicapai," katanya.

Sementara itu, Badrul Hisyam berkata dia akan cuba memperbaiki semua kelemahan yang ada untuk beraksi lebih cemerlang dalam setiap kejohanan yang disertainya.

Beliau berkata dia kini ditempatkan di bawah Program Kita Juara 2017 bagi persediaan menghadapi Temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

"Saya tahu kelemahan saya pada 20 meter awal larian sebab itu pada mulanya sebelum bertolak ke Brunei saya hanya berhasrat untuk mempertahankan dua pingat emas yang dimenangi ketika di Filipina tahun lalu di kejohanan yang sama dalam acara 100m dan 200m," katanya.

Beliau yang mahu mengikuti jejak langkah idolanya iaitu jaguh pecut dunia Usain Bolt berharap dapat terus berlatih bersama jurulatihnya Mohd Poad yang sentiasa berada di sampingnya memberi sokongan dan galakan bagi menghadapi setiap kejohanan yang disertanyai.

Asean, Raja Pecut

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain