KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yakin dengan 'tonik' yang digunakan oleh jurulatihnya Hendrawan dalam mempersiapkan dirinya ke temasya Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil. Walaupun mengakui kurang selesa pada awalnya, namun selepas menjuarai tiga siri Super baru-baru ini, Chong Wei berkata beliau akan meneruskan latihan di bawah bimbingan bekas juara dunia dari Indonesia itu. "Seperti yang semua tahu, saya memang tidak pernah ada aduan mengenai sesiapa pun jurulatih saya, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tukar jurulatih, saya terima sahaja. "Selepas tiga siri Super, banyak orang nampak corak permainan saya sudah bertukar dan saya akui Hendrawan banyak bantu saya. Sama ada Hendrawan mahupun Tey Seu Bock, mereka berdua ada kelebihan masing-masing. "Saya yakin dengan Hendrawan dan beliau juga sentiasa berbincang dengan Seu Bock untuk bantu saya dalam persiapan menghadapi Olimpik akan datang," katanya pada sidang media sempena program jelajah 'The Legends' Vision', di sini, Khamis. Hendrawan, 43, yang sebelum ini jurulatih pemain pelapis, diberi tanggungjawab besar membimbing Chong Wei selepas bekas pemain nombor satu dunia itu bebas daripada penggantungan ekoran kes doping pada 1 Mei lepas. Chong Wei sebelum itu dibimbing oleh Seu Bock sejak 2010, dengan dibantu oleh bekas jurulatih perseorangan Rashid Sidek dan juga Hendrawan. Dalam pada itu, Chong Wei, yang kini berada di ranking ketiga dunia, mengakui beliau memerlukan dua lagi pemain senior, Chong Wei Feng dan Liew Daren sebagai rakan sepelatih bagi persiapan menghadapi Sukan Olimpik. Perkara sama turut disuarakan oleh jurulatih beliau semalam yang menyatakan Chong Wei tidak akan berlatih dengan pemain negara lain dalam persiapan ke Sukan Olimpik. Sementara itu, berhubung program jelajah 'The Legends' Vision', Chong Wei berkata bermula tahun hadapan, program itu akan diperluaskan ke beberapa negara termasuk negara-negara yang bukan popular untuk sukan badminton. Program yang menampilkan Chong Wei dan tiga lagi bintang badminton dunia, Lin Dan dari China, Taufik Hidayat (Indonesia) dan Peter Gade (Denmark) adalah antara usaha Yonex untuk mempromosikan sukan itu. Malaysia menjadi destinasi terakhir selepas China, Indonesia dan Denmark dan menganggarkan penyertaan terbanyak dengan 5,000 peserta terdiri daripada pelajar sekolah sekitar Lembah Klang dan beberapa negeri. Program yang diadakan pada 15 Disember ini, menyaksikan empat jaguh dunia itu berkongsi pengalaman dalam arena badminton menerusi forum, klinik badminton serta perlawanan pertunjukan. "Pada 2016, mungkin masa agak terhad memandangkan saya dan Lin Dan dalam persiapan menghadapi Sukan Olimpik, tapi pada 2017 hingga 2019 kami sudah ada perancangan untuk mengadakan promosi ke beberapa negara seperti Bulgaria, Amerika Syarikat dan Kanada," katanya.-- Bernama