KUALA LUMPUR: Pemain skuasy wanita utama Malaysia Datuk Nicol David berada di landasan yang tepat untuk meraih gelaran ke-10 pada Terbuka Hong Kong.
Pilihan kedua kejohanan itu hanya mengambil masa 24 minit untuk menewaskan pemain Mesir, Omneya Abdel Kawy 11-4, 11-5 dan 11-2 pada aksi separuh akhir, demikian menurut laman sesawang kejohanan www.hksquashopen.com.
Perlawanan berkenaan telah diubah ke gelanggang kaca di Pusat Sukan Hong Kong.
Dalam usaha mempertahankan gelarannya buat kali ke-10 itu, Nicol akan berdepan pemain England, Laura Massaro. Laura menempah tempat ke perlawanan akhir selepas menumpaskan pilihan utama yang juga pemain nombor satu dunia, Raneem Ek Weleily 11-4, 11-5 dan 11-8 dalam aksi yang berlangsung selama 33 minit.
Untuk rekod, Nicol menjuarai Terbuka Hong Kong sembilan kali berturut-turut sejak 2006.