KUALA LUMPUR: Kedah dan Selangor mengulangi perlawanan akhir Piala Malaysia 2008 selepas kedua-dua pasukan meraih kemenangan pada aksi separuh akhir kedua pada Ahad malam.
Kedua-dua pasukan ini melangkah ke saingan akhir selepas tujuh tahun yang menyaksikan Selangor tewas 3-2 kepada Kedah pada aksi tersebut.
Pada aksi separuh akhir kedua ini, Selangor menewaskan juara bertahan Pahang di laman sendiri dengan jaringan 2-0 dengan menguasai permainan sejak awal permainan.
Manakala Kedah menggunakan peluang beraksi di hadapan penyokong sendiri dengan mencatat keputusan 2-1 (agregat 4-3) biarpun Felda United membuka jaringan awal permainan.
Namun, juara 2008 itu bangkit menyamakan kedudukan, sebelum menambah satu lagi jaringan pada babak kedua permainan.
Keputusan itu sekaligus memadam hasrat Felda United untuk mara ke final Piala Malaysia buat julung kalinya.
Perlawanan akhir bakal berlangsung pada 12 Disember ini di Stadium Shah Alam.