suria

Mourinho Kembali Terajui Real Jika Zidane Gagal - Calderon

Jose Mourinho.

JOSE Mourinho akan kembali memimpin Real Madrid sekiranya pengurus baharu pasukan itu, Zinedine Zidane gagal membawa pulang sebarang trofi pada musim ini, kata bekas presiden kelab itu, Ramon Calderon.

Real Madrid memecat pengurus Rafael Benitez tidak sampai tujuh bulan selepas menggantikan Carlo Ancelotti.

Susulan pemecatan itu, Zidane diumumkan sebagai pengganti Benitez.

Mourinho yang dipecat Chelsea pada pertengahan Disember lalu pernah membantu Real memenangi trofi La Liga dan Copa del Rey.

Malah, Calderon memberitahu stesen BBC Radio 5 bahawa beliau 'yakin' pengurus kelahiran Portugal itu akan mengemudi kelab tersebut pada Jun ini sekiranya Zidane gagal.

"Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Zidane tetapi ia tugas sukar. Jika dia tidak berjaya maka Mourinho akan kembali memimpin Real, saya yakin.

"Ia peluang terbaik untuk Zidane tetapi dia kurang pengalaman sebagai pengurus. Itu masalah utama sekarang," kata Calderon.

Calderon yang pernah menjadi presiden Real Madrid antara tahun 2006 dan 2009 mengkritik tindakan presiden pasukan itu, Florentino Perez kerana menggantikan Ancelotti dengan Benitez hanya setahun selepas pengurus kelahiran Itali itu memenangi aksi Liga Juara-Juara dan Copa del Rey bersama kelab tersebut.

"Florentino Perez adalah seorang jurutera, dia tidak profesional.

"Dia memutuskan untuk memecat Ancelotti ketika ramai menyayanginya. Mereka menggantikannya dengan Benitez tetapi tiada siapa yang memberi nasihat mengenai individu paling sesuai memimpin kelab itu," kata Calderon.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain