suria

Pengakuan Jurgen Klopp: Liverpool Kena Beli Pemain Pertahanan Bulan Ini

Jurgen Klopp

PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp mengakui yang dia tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa membeli pemain pertahanan baru bulan ini sementara peluang terbuka luas untuk berbuat demikian ekoran pembukaan semula pintu perpindahan di seluruh Eropah selama sebulan.

"Saya terpaksa kerana tidak ada seorang pun pemain tengah saya yang cergas kerana kecederaan," kata Klopp sambil menafikan corak latihannya menyumbang kepada kecederaan ramai pemain mereka.

Sebahagian besarnya mengalami kecederaan hamstring sekaligus mendorong para pengkritik bolasepak menuding jari kepada corak latihannya yang rigid sebagai punca.

Antara yang menuding jari kepada corak latihan Klopp yang dilihat menyumbang kepada kecederaan hamstring adalah bekas pemain dan pengurus kelab itu sendiri, Graeme Souness.

Terbaru, Dejan Lovren dan Philippe Coutinho menjadi mangsa kecederaan hamstring - menjadikan kesemuanya 12 pemain skuad utama Liverpool tidak dapat diturunkan kerana masalah kecergasan.

Daripada jumlah itu, separuh adalah kerana kecederaan hamstring.

Namun Klopp secara sinis menjawab kritikan itu dengan berkata; "Corak latihan saya menyumbang kepada kecederaan para pemain? Menyumbang macamana jika kami buat masa ini tidak menjalani latihan pun. Kami sebaliknya hanya cuba pulih dari kecederaan semata-mata."

“Tapi tidak apa...kami tetap akan melihat semula cara latihan kami. Tetapi malangnya kami tidak berlatih pun kerana hendak turun berlatih pun tidak boleh jika 12 pemain skuad utama anda tidak boleh turun padang. Jadi bila kami harus berlatih? Kami tidak boleh hendak berlatih. Kami sekadar melakukan proses pemulihan," katanya lagi.

Dan dalam nada yang sindir juga, Klopp berkata, jika para wartawan dan pengkritik mahu dia bertanggungjawab penuh ke atas kecederaan yang dialami oleh pemain-pemainnya, dia bersedia memikul tanggungjawab tersebut.

"Tidak apa, saya tahu saya akan dipersalahkan. Tidak mengapa saya terima tanggungjawab ini dan akan cuba mengatasi masalah ini dengan apa jua cara sekali pun," ujarnya.

Dalam pada itu, Klopp mengesahkan yang Kolo Toure turut mengalami kecederaan dalam perlawanan separuh akhir Piala Carling atau Capital One kelmarin ketika menentang Stoke City tetapi berharap pemain itu akan dapat diturunkan dalam perlawanan seterusnya menentang Exeter dalam pertandingan Piala FA, Jumaat ini.

Bagaimanapun beliau memberitahu malangnya yang Martin Skrtel tidak sempat untuk pulih untuk diturunkan dan begitu juga dengan Mamadou Sakho.

Artikel Sebelum

Keputusan Piala Liga, Khamis

Artikel Lain