suria

Fifa Pecat Setiausaha Agung Jerome Valcke

Setiausaha Agung Fifa, Jerome Valcke

SELEPAS satu demi satu skandal pengurusan badan bolasepak dunia terbongkar, Fifa kini mengumumkan pemecatan setiausaha agungnya, Jerome Valcke berkuat kuasa serta merta pada Rabu. 

Valcke, 55, yang berasal dari Perancis kini sedang disiasat atas dakwaan terlibat dalam skandal rasuah yang melibatkan skim penjualan tiket Piala Dunia. 

Dia sebelum ini telah digantung tugas iaitu pada 17 September tahun lalu selepas laporan berhubung penglibatannya dalam skandal tersebut terbongkar. 

Mula menyandang jawatan itu pada 2007, Valcke bagaimanapun menafikan sebarang pembabitannya dalam salah guna kuasa. 

Dia dilihat sebagai orang kanan Presiden Fifa, Sepp Blatter yang telah pun digantung oleh Jawatankuasa Etika Fifa selama lapan tahun, Disember lalu juga atas dakwaan rasuah dan salah guna kuasa.

Turut digantung selama lapan tahun ialah Naib Presiden Michel Platini yang juga presiden Kesatuan Bolasepak Eropah (Uefa). 

Fifa akan bersidang Februari depan untuk memilih presiden yang baru.


Artikel Sebelum

Keputusan Liga Perdana Inggeris

Artikel Berikut

Artikel Lain