suria

Febby Bimbang Keselamatan Keluarga Di Jakarta

Febby Angguni.

GENTING HIGHLANDS: Pemain profesional wanita Indonesia, Febby Angguni bimbang dengan keselamatan keluarganya di Jakarta susulan insiden tembak menembak dan letupan bom di ibu negara berkenaan pada Khamis.

Bekas pemain skuad kebangsaan Indonesia itu yang kini mewakili Kelab Badminton Cheras (Cheras BC) pada Kejohanan Cabaran Juara-Juara Resorts World Genting, di sini mengakui keselamatan keluarga sentiasa menjadi keutamaannya walaupun beraksi pada mana-mana kejohanan antarabangsa.

"Saya pun baru tahu mengenai berita ini. Memang agak risau namun saya harap semuanya selamat di sana (Jakarta)," katanya ketika ditemui pemberita, Khamis.

Menurut laporan media di Indonesia, sekurang-kurangnya enam orang termasuk tiga orang awam disahkan maut dalam siri letupan berhampiran Restoran Starbuck, Sarinah Mall di Jalan MH Thamrin, kira-kira pukul 10.50 pagi waktu tempatan.

Dalam pada itu, Febby, 24, tidak meletakkan sasaran khusus pada Kejohanan Grand Prix Emas Malaysia Masters yang berlangsung di Pulau Pinang dari 19-24 Januari ini.

Beliau dijadualkan menentang pemain Taiwan, Lee Chia Hsin pada pusingan pertama peringkat kelayakan.

Sementara itu, Febby mengakui kekalahan demi kekalahan yang dialaminya pada kejohanan di sini disebabkan gagal menyesuaikan diri dengan pergerakan bulu tangkis yang agak laju selain beliau bukanlah seorang pemain yang mengamalkan corak agresif.

"Main di sini kurang menguntungkan kerana saya bukan pemain yang suka menyerang tapi banyak main rali... mungkin juga kurang keyakinan, sebab itu saya tidak boleh menang di tempat tinggi.

"Bagi saya, siapa yang berani melakukan serangan ke atas lawan, dia akan menang," kata Febby yang bekerja dengan sebuah syarikat hartanah di Surabaya yang membiayai perjalanan kariernya selaku pemain profesional.

Pemain kelahiran Bandung itu memulakan karier dengan mewakili Kelab Djarum selama tiga tahun sejak berusia 12 tahun sebelum diserapkan ke skuad kebangsaan Indonesia selama tiga tahun.

Namun beliau mengambil keputusan menyertai semula kelab Djarum sehingga berusia 18 tahun sebelum mengambil keputusan bergerak secara bebas dan kemudian menyertai Cheras BC. - BERNAMA

          

Febby Angguni, Cheras BC

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain