suria

Gaji Tertunggak, FMLLP Sedia Potong Mata Pasukan

PETALING JAYA: Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) sedia mengenakan hukuman memotong mata mana-mana pasukan bermula musim ini sekiranya gagal melunaskan gaji pemain.

Namun Ketua Pengawai Eksekutif (CEO), Kevin Ramalingam menjelaskan hukuman tersebut akan dikenakan ke atas pasukan-pasukan yang mempunyai masalah bayaran gaji tertunggak setelah pihak pengurusan terus gagal mencari jalan keluar.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) antaranya kelab yang berdepan dengan masalah tunggakan bayaran gaji sebelum ini.

"Masalah gaji tertunggak bukan sahaja ATM tetapi ada lagi satu dua pasukan menghadapi masalah yang sama termasuyk dari segi KWSP, cukai dan sebagainya.

"Kita tidak akan terus menjatuhkan hukuman denda  ini kepada mereka. Terlebih dahulu saya akan berjumpa dengan setiap pasukan minggu depan dan mendengar apa rancangan mereka untuk menjelaskan hutang pasukan. Kami akan memberi amaran terakhir untuk mereka agar segera selesaikan masalah yang dihadapi.

"Jika gagal selesaikan masalah itu, tindakan memang akan diambil. Kalau saingan sudah bermula, pemotongan mata akan terus dibuat.

"Dan jika masalah bayaran ini berterusan selepas pemotongan mata, ia akan memberi kesan kepada pelesenan kelab.

"Kita semua tahu, kalau melibatkan lesen kelab, mereka sudah tidak boleh beraksi lagi pada musim hadapan," jelasnya yang enggan mendedahkan dua lagi pasukan yang berdepan dengan masalah tunggakan gaji.

Bagaimanapun Kevin menjelaskan, hukuman ini tidak akan terus dibuat tanpa sebarang perbincangan kerana sedar ia boleh memberi kesan besar kepada pasukan apabila hilang enam mata.

"Kita akan cuba membantu mereka membuat perubahan pengurusan kelab secara profesional dan tidak hanya tertumpu kepada satu jalan. Sebab itu kita perlu memberi pengetahuan lebih jelas mengenai pengurusan yang lebih baik.

"Saya secara peribadinya, saya lebih suka berjumpa dengan mereka secara bersemuka, bukan dengan hanya menghantar surat kerana mahu mereka lihat FMLLP berlaku adil sebelum sesuatu hukuman dibuat.

"Dan bagi saya, jika pasukan yang didenda ini faham mengenai kesalahan sendiri, FMLLP yakin mereka tidak ada masalah untuk menerima hukuman tersebut," jelasnya.

Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) mencadangkan supaya menguatkuasakan hukuman memotong mata liga kepada pasukan yang gagal membayar pemain.

Selain itu, Pahang antara contoh pasukan yang menerima hukuman dipotong enam mata oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berikutan isu pampasan dan gaji bekas pemain import dari Maghribi, Mohamed Borji.

Akibatnya, Pahang dilucutkan gelaran naib juara Liga Super 2015.

FMLLP, Tunggakan Gaji, Potong Mata

Artikel Sebelum

Keputusan Liga 1 Perancis

Artikel Berikut

Artikel Lain