suria

Tahap Kecederaan Messi Belum Diketahui - Enrique

Lionel Messi.

PEMENANG anugerah Ballon d'Or, Lionel Messi terpaksa dikeluarkan pada separuh babak pertama ketika Barcelona menentang Athletic Bilbao selepas dipercayai bergelut dengan kecederaan otot.

Susulan itu, beliau akan menjalani ujian pemeriksaan pada Isnin untuk mengetahui tahap kecederaan yang dialaminya.

Messi menjaringkan gol pembukaan Barca pada minit ketujuh menerusi sepakan penalti sebelum digantikan dengan Arda Turan.

Pengurus Barca, Luiz Enrique menegaskan keputusan mengeluarkan Messi dibuat sebagai langkah berjaga-jaga.

Pemain kebangsaan Argentina itu terlepas aksi bersama Barca selama dua bulan tahun lalu kerana bergelut dengan kecederaan lutut.

"Ujian akan dijalankan pada Isnin, dia mungkin mengalami masalah otot yang ringan.

"Kami tidak mahu mengambil sebarang risiko. Saya tidak mahu membahayakan kesihatan orang lain, lebih-lebih lagi Messi," kata Enrique.

Barca turut kehilangan khidmat pemain pertahanan Jordi Alba yang terpaksa dikeluarkan pada minit ke-45 selepas mengalami kecederaan hamstring.

Pada perlawanan itu Barca menundukkan 10 pemain Bilbao 6-0.

Bilbao terpaksa beraksi dengan hanya 10 pemain selepas penjaga gol Gorka Iraizoz dilayangkan kad merah kerana menjatuhkan Luis Suarez di dalam kotak penalti

Barca yang menduduki tempat kedua liga, ketinggalan dua mata di belakang pendahulu Atletico Madrid masih mempunyai satu lagi perlawanan di dalam tangan.

Anak buah Enrique itu akan menentang Bilbao pada pusingan pertama suku akhir Copa del Rey pada Rabu.

Lionel Messi, Barcelona

Artikel Berikut

Artikel Lain