GEORGE TOWN: Hanya air mata menggambarkan kekecewaan pemain profesional negara, Zulfadli Zulkiffli yang hilang fokus pada detik penting, sekali gus gagal ke suku akhir Grand Prix Emas Masters Malaysia di Arena SPICE, di sini Khamis. Zulfadli yang sudah hampir memenangi perlawanan pusingan ketiga perseorangan lelaki itu, terpaksa tunduk 21-11, 8-21, 20-22 kepada pemain India, Ajay Jayaram dalam pertarungan yang dramatik. Pada pertarungan selama 56 minit itu, Zulfadli yang mendahului set penentuan dengan 18-10, tidak mampu bertahan dengan asakan lawannya yang juga pilihan ke-10 kejohanan. Juara remaja dunia 2011 itu bermula dengan baik dengan memenangi set pertama 21-11, sebelum goyah di set seterusnya sehingga memberi laluan mudah kepada Ajay untuk menang 21-8. Pemain berusia 22 itu yang selesa dengan kedudukan 18-10 di set penentuan bagaimanapun kelihatan mula terjejas selepas keputusan penjaga garisan yang tidak memihak kepadanya. Ajay yang menyedari fokus Zulfadli sudah terjejas, mula mengambil kesempatan untuk mencuri mata demi mata sebelum mengikat kedudukan 20-20, dan seterusnya mengutip dua mata terakhir bagi memastikan kemenangan kepadanya. Selain Zulfadli, seorang lagi pemain negara Soo Teck Zhi turut terkandas pada perlawanan pusingan ketiga perseorangan lelaki, selepas tunduk kepada pemain China, Qiao Bin 13-21, 10-21. Turut gagal meneruskan cabaran ke suku akhir adalah beregu lelaki negara, Low Juan Shen/Tan Kian Meng yang tunduk kepada pasangan Taiwan yang juga pilihan kelapan, Lee Sheng Mu/Tsai Chia Hsin 16-21, 19-21.