PUTRAJAYA: Pengarah Urusan Nouvelles Visages (NV), Erni Dekritawati Yuliana Buhari berpeluang memenuhi hasratnya untuk bertemu 'orang kuat' Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi mendapat pandangan berkaitan tajaan sukan apabila sama-sama menghadiri majlis di kementerian itu di sini, pagi Khamis. Majlis berkenaan dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan timbalannya, Datuk M. Saravanan. Kehadiran mereka bersama anak sulung jutawan kosmetik, Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya itu bagi majlis perasmian spa yang dinamakan Idol Spa KBS-NV, iaitu program melalui kerjasama strategik antara NV dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di bawah KBS. Ia dirasmikan Penaung Puspanita Cawangan KBS yang juga isteri Menteri Belia dan Sukan, Nori Tun Abdullah, diiringi Khairy sendiri bersama Saravanan dan isteri beliau, Datin V. Kavitha. Perjanjian kerjasama antara NV dan kementerian mengenai program itu dimeterai pada November 2015. Menerusi kerjasama itu, pelatih IKBN berpeluang memperoleh pengalaman bekerja Idol Spa KBS-NV di Menara KBS di sini. mStar Online pada Rabu melaporkan Erni Dekritawati atau lebih dikenali sebagai Rita Sosilawati mengakui merancang untuk bertemu Khairy dan Saravanan berhubung hasratnya dalam membantu membangunkan sukan negara. Sekiranya pertemuan itu direalisasikan, Rita akan mengambil peluang untuk meminta pandangan dan nasihat Khairy dan juga Saravanan dalam soal kerjasama serta tajaan sukan tempatan termasuk bola sepak. "Hasrat itu memang ada. InsyaAllah jika ada kesempatan, ruang dan peluang pada majlis yang dihadiri YB Menteri, Timbalan Menteri, saya akan cuba sampaikan hasrat untuk adakan pertemuan tersebut," kata Rita yang juga penaja utama program realiti Akademi Fantasia 2015 tanpa mengulas lanjut. Sebelum ini, portal ini juga melaporkan anak sulung jutawan kosmetik, Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya itu tidak menolak untuk menaja sukan lain, selain bola sepak selagi ada kerjasama yang membawa kepada situasi menang-menang. Rita (kiri) bersama Khairy (kanan) dan Saravanan (dua, kanan). "Saya mahu kerjasama ini bukan dalam masa singkat malah berterusan dalam membantu perkembangan sukan tersebut tetapi tidak dinafikan selain itu perlu ada 'win-win situation' antara kedua-dua pihak supaya dapat memberikan hasil yang memuaskan," katanya. Rita juga dilaporkan berhasrat untuk bekerjasama dengan salah satu daripada empat pasukan dalam saingan Liga Super sama ada Selangor, Kedah, Pahang atau Johor Darul Ta'zim (JDT).