KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan membincangkan pelantikan seorang bendahari baharu pada mesyuarat Lembaga Eksekutifnya pada 3 Februari ini. Setiausaha Kehormat MOM Datuk Low Beng Choo berkata, MOM masih mencari calonyang layak untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Rosmanizam Abdullah. "Kami akan bincangkan pelantikan baharu itu dalam mesyuarat Lembaga Eksekutif nanti. Beliau (Rosmanizam) baru mengemukakan surat peletakan jawatan beberapa hari sebelum mesyuarat terakhir kami, notisnya begitu singkat. "Kami perlu berbincang, melihat calon dan kelayakan mereka. Kami mahu berhati-hati melantik calon kerana ia adalah jawatan dengan tanggungjawab berat. "Memang ada keperluan mendesak tetapi kami tidak mahu terburu-buru," katanya kepada Bernama. Beng Choo berkata buat sementara ini, Lembaga Eksekutif telah melantik penolong bendahari, Ahmad Feisal Ahmad Tajuddin memangku tugas itu sehingga pengganti jawatan berkenaan dilantik. Menurut laporan media, Rosmanizam yang dipilih dalam pemilihan 22 Ogos bagi penggal 2015-2017 meletak jawatan pada 22 Disember lepas atas alasan peribadi. Beng Choo turut menegaskan mengikut Perlembagaan MOM, calon yang mahu dilantik itu perlu memegang jawatan dalam anggota gabungan majlis berkenaan sebelum dapat menjadi bendahari. "Ia sememangnya jawatan yang dipilih tetapi apabila berlaku kekosongan, Lembaga Eksekutif boleh melantik mana-mana calon daripada anggota gabungan,"katanya. Rosmanizam pernah menjadi penolong bendahari selama tiga penggal (2007-2013) sebelum menewaskan penyandang jawatan bendahari Yong Choo Kong dalam pemilihan tahun lepas. Penyunting akhbar Utusan Malaysia itu juga adalah Setiausaha Agung Persatuan Kriket Melayu Malaysia sejak 1992 dan bekas Setiausaha Persatuan Berbasikal Melaka. -Bernama