suria

Chong Wei Masih Belum Diuji

Lee Chong Wei.

GEORGE TOWN: Jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei hanya mengambil masa 35 minit untuk mara ke separuh akhir kejohanan Masters Malaysia di Arena SPICE di sini, Jumaat.

Chong Wei yang belum benar-benar diuji sepanjang kejohanan ini, mudah menjinakkan pilihan ke-10, Ajay Jayaram dari India 21-16, 21-16.

"Ajay banyak membuat pukulan yang mengelirukan dan ia sedikit mengganggu permainan saya. Mujur saya dapat menemui sentuhan pada penghujung set," katanya kepada pemberita.

Kemenangan bekas pemain nombor satu dunia itu membolehkannya menentang Tommy Sugiarto yang juga anak kepada juara dunia 1983, Icuk Sugiarto dari Indonesia, yang juga pilihan ketiga kejohanan ini.

Tommy sebelum itu menyingkirkan pemain China, Qiao Bin 21-6, 21-17 dalam satu lagi perlawanan suku akhir perseorangan lelaki.

"Saya akan beri lebih fokus kepada permainan sendiri. Saya belum diuji seratus peratus di kejohanan ini," katanya.

Ditanya kemungkinan berdepan rakan senegara Iskandar Zulkarnain Zainuddin di final nanti, Chong Wei berkata walaupun masih awal untuk diperkatakan, senario sedemikian adalah petanda baik untuk perkembangan badminton negara. 

Menurutnya, adalah sesuatu yang jarang berlaku dalam kalangan pemain muda negara untuk menunjukkan prestasi memberangsangkan ketika beraksi di kejohanan besar seperti Masters Malaysia yang berstatus Grand Prix Emas.

"Apa yang saya harapkan, Iskandar akan main dengan baik esok menentang K.Srikanth kerana pemain India itu juga berada pada prestasi yang baik. Saya harap Iskandar dapat meneruskan kecemerlangannya," katanya.

Sementara itu, dua beregu negara turut mengiringi Chong Wei ke separuh akhir iaitu gandingan profesional Koo Kien Keat/Tan Boon Heong dan Goh V Shem/Tan Wee Kiong. - Bernama

Lee Chong Wei

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain