suria

Kedah Pertaruh Empat Pemain Import Di Phuket

Pemain import Kedah Sandro (kiri), Kahe dan Liridon bergambar bersama sebelum bertolak ke Thailand.

PENGENDALI skuad Helang Merah, Tan Cheng Hoe akan mempertaruhkan empat pemain importnya buat pertama kali pada musim ini dalam perlawanan persahabatan pra musim menentang pasukan Phuket FC di Phuket, Thailand pada Sabtu.

Bekas penolong jurulatih skuad Harimau Malaya itu berkata, tindakan menurunkan kesemua pemain import tersebut bukan untuk mengejar kemenangan sebaliknya membentuk persefahaman di kalangan pemain.

Menurutnya, dalam dua perlawanan persahabatan sebelum ini melibatkan Felcra FC dan Kuala Lumpur, skuad tersebut hanya dibarisi pemain tempatan yang kebanyakkan adalah pemain muda.

"Perlawanan esok akan beri peluang pertama untuk saya menilai kombinasi empat pemain import kita iaitu Bang Seung Hwan, Liridon Krasniqi, Sandro Da Silva dan Carlos Kahe.

"Dari situ kita dapat mengetahui kelemahan yang ada dan keserasian yang diperlukan supaya satu kesebelasan utama lebih mantap dapat disediakan untuk menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

"Saya yakin tiga pemain import kita iaitu Bang, Liridon dan Sandro tidak akan menghadapi masalah untuk memahami corak permainan dan juga aksi rakan sepasukan mereka tetapi bagi Kahe, ini adalah perlawanan pertama bersama kita dan dia pasti memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan dirinya.

"Kahe yang berpengalaman beraksi di Liga Turki dan Bundesliga diharap dapat menyesuaikan dirinya dengan pengalaman yang dimiliki. Semasa menjalani latihan dia tidak kekok  ataupun tidak memahami corak permainan yang diamalkan Kedah," jelasnya.

Cheng Hoe menambah, Kahe diharap dapat mempamerkan kemampuan dirinya dengan merobek gawang lawan selain menyesuaikan diri dengan rentak permainan bola sepak Asia.

"Setelah menjalani latihan selama seminggu, kesemua pemain import kita sudah mula menunjukkan peningkatan pada tahap kecergasan fizikal dan saya yakin mereka akan berada dalam keadaan terbaik sempena perlawanan sulung Liga Super musim ini iaitu pada 23 Februari depan.

"Barisan pemain tempatan kini hampir mencapai tahap kecergasan yang baik setelah memulakan latihan sejak 2 Januari lalu dan kesungguhan serta komitmen yang dipamerkan setakat ini memuaskan hati saya.

Katanya, selepas bertemu Phuket FC, Kedah bakal diuji oleh Krabi FC dan Songhkla FC.

Sebaik sahaja kembali, pemain pasukan Hijau Kuning akan bertemu skuad Perlis di Stadium Syed Putera, Kangar pada 1 Februari depan.

Phuket, Thailand, Kedah

Artikel Berikut

Artikel Lain