GEORGE TOWN: "Bila prestasi kamu sudah naik, jangan fikir yang kamu sudah bagus." Itu pesanan bekas pemain nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei yang mahujuara kebangsaan, Iskandar Zulkarnain Zainuddin meneruskan usaha meningkatkan kemampuan diri bagi mencipta gemilang. Chong Wei, yang menundukkan Iskandar 21-18, 21-11 di final kejohanan Masters Malaysia pada Ahad, berkata prestasi cemerlang yang dipamerkan naib juara remaja dunia 2009 itu adalah satu perubahan positif dalam karier pemain berkenaan. Namun Chong Wei mahu perubahan itu dikekalkan dan berharap Iskandar mampu mengekalkan prestasi cemerlang hingga ke tahap yang lebih tinggi. "Satu yang bagus untuk kita tengok ialah Iskandar sudah berubah. Semangat dan rentak dia sudah dapat. Tadi saya jumpa dia dan beritahu supaya dia tidak berhenti di sini sebaliknya teruskan (prestasi cemerlang itu). "Saya harap dia akan bermain lebih bagus di India (Kejohanan Berpasukan Asia). Dia sudahpun dapat keyakinan dan kita dapat tengok menerusi cara dia main hari ini...cukup luar biasa," katanya. Menurut Chong Wei, perubahan ketara yang dapat dilihat pada pemain itu ialah semangat tinggi dan tidak mudah menyerah kalah dalam setiap perlawanan termasuk menentangnya di final hari ini. Sementara itu, Iskandar berharap semua peminat badminton tempatan terus menyokongnya. "Sekarang saya sudah nampak jalan dengan lebih jelas. Sekarang pun, peluang sudah datang yang mana banyak diberikan oleh (Pengara Teknikal Persatuan Badminton Malaysia, Morten) Frost. "Saya harap dengan pengalaman sebegini dan peluang yang ada, saya dapat pergi lebih jauh, jadi lebih matang dan mempertingkatkan disiplin diri,"katanya.