suria

Masters Malaysia: Impian Kian Meng-Pei Jing Berakhir

GEORGE TOWN: Impian beregu campuran negara, Tan Kian Meng/Lai Pei Jing menamatkan aksi kejohanan Masters Malaysia dengan kejayaan hebat, tidak kesampaian apabila tewas pada halangan terakhir di Arena SPICE, Ahad.

Pasangan yang baru digandingkan tiga bulan lepas terpaksa akur kepada pasangan muda China, Zheng Siwei/Li Yinhui 21-14, 21-19 di final. Ia sekali gus menyekat rentetan kemenangan mereka yang dimulai daripada pusingan kelayakan diikuti kejayaan menundukkan pilihan ketiga, PraveenJordan/Debby Susanto dari Indonesia selain menjinakkan pasangan senior negara,Chan Peng Soon/Goh Liu Ying yang juga pilihan kelapan di separuh akhir pada Sabtu.

Namun Pei Jing, 23, tetap berpuas hati dengan pencapaian mereka di sepanjang kejohanan ini.

"Apa yang perlu selepas ini adalah untuk berbincang dengan jurulatih supaya kami ada pelbagai strategi untuk berdepan lawan," katanya.

Bagi Kian Meng, 21, perasaan gemuruh beraksi di final pertama baginya sedikit sebanyak mempengaruhi corak permainannya yang kelihatan seperti hilang sentuhan berbanding aksi dalam perlawanan sebelumnya.

"Saya rasa masih kurang pengalaman dan perlu beraksi dalam lebih banyak kejohanan. Hanya dengan cara itu saya tidak akan mengulangi kegugupan seperti yang ditunjukkan hari ini," kata pemain berketinggian 1.85 meter yang turut beraksi dalam acara beregu lelaki di kejohanan ini.

Pencapaian Kian Meng/Pei Jing itu membolehkan mereka menerima hadiah wang tunai US$4,560 (RM19,152) selaku naib juara manakala beregu China itu meraih US$9,480 (RM39,816).-Bernama

Artikel Lain