KEDUDUKAN di puncak liga menyaksikan perubahan dalam dua daripada tiga liga elit di Eropah selepas berakhirnya beberapa perlawanan, awal pagi Ahad. Leicester City, buat masa ini kembali berada di puncak Liga Perdana Inggeris, manakala Barcelona kembali menakluki tempat teratas dalam Liga Sepanyol (La Liga). Leicester City menyingkirkan Arsenal dari puncak liga setelah mereka tampil dengan aksi hebat dan menewaskan Stoke City 3-0. Sementara itu Lionel Messi memegang peranan utama dalam kejayaan Barcelona apabila menyumbat masuk gol kemenangan untuk pasukannya di kandang Malaga. Gol Messi, yang diberi gelaran La Pulga (si kutu) mengunci kemenangan 2-1 Barcelona di markas malaga. Kemenangan ini untuk sementara mengembalikan Barca ke puncak carta La Liga dengan 48 mata, manakala Malaga meringkuk di posisi 12 dengan 24 mata. Sementara itu dalam Serie A (Itali), AC Milan gagal meraih mata penuh dalam kunjungan mereka ke markas Empoli, di Stadium Carlo Castellani. AC Milan hanya mampu mencatat keputusan seri 2-2.