PEMAIN nombor satu wanita dunia, Serena Williams mara ke separuh akhir Terbuka Australia selepas menewaskan Maria Sharapova pada Selasa. Williams berjaya menundukkan pemain dari Rusia itu dalam masa sejam dan 32 minit dengan 6-4 6-1. Beliau akan bertemu dengan pemain nombor empat wanita dunia, Agnieszka Radwanska dalam saingan separuh akhir pada kejohanan di Melbourne Park, Australia. Radwanska menewaskan Carla Suarez Navarro dengan 6-1 6-3. Williams berkata: "Ia merupakan saingan yang sengit. Dia (Sharapova) merupakan pencabar yang fokus, malah dia pernah menjadi pemain nombor satu dunia dan memperoleh banyak gelaran Grand Slam. "Bila anda bermain dengan seseorang seperti dia yang begitu hebat, anda perlu kuat dan mempunyai semangat yang membara." Mengenai pencabarnya Radwanska dalam saingan separuh akhir nanti, Williams berkata: "Dia adalah gadis yang hebat dan bagus dari segi pertahanan, jadi tidak kira siapa yang memasuki pusingan akhir ia merupakan sesuatu yang hebat. Saya akan melakukan yang terbaik."