suria

Penembak Negara Gagal Tempah Slot Ke Olimpik

Bibiana dan Joceline antara penembak negara yang gagal menempah tiket ke Sukan Olimpik Rio, Ogos ini.

KUALA LUMPUR: Penembak negara gagal menempah slot ke Sukan Olimpik Rio 2016 di Brazil, Ogos ini selepas mempamerkan persembahan buruk pada Kejohanan Kelayakan Olimpik Asia di New Delhi, India, Rabu.

Dalam aksi kelayakan di Lapang Sasar Dr. Karni Singh, kesemua lima wakil negara gagal menempatkan diri dalam pusingan akhir dalam acara masing-masing.

Dua penembak berpengalaman -- Bibiana Ng Pei Chin dan Joseline Cheah Lee Yean - masing-masing menduduki tempat ke-16 dan ke-18, dalam pusingan kelayakan acara 10m Air Pistol wanita selepas kedua-dua mereka mengumpul 375 mata, menurut laman sesawang Persekutuan Sukan Menembak Antarabangsa (ISSF);www.issf-sports.org.

Bibiana, bagaimanapun, berada di posisi lebih baik dengan 8 mata shoot-off berbanding 5 oleh Joseline selepas kiraan semula.

Alia Sazana Azahari juga menunjukkan aksi yang mengecewakan selepas menduduki tangga ke-28 daripada 45 penembak dalam acara yang sama dengan memungut 371 mata. 

Penembak dari India, Sidhu Heena meraih pinghat emas selepas membidik 199.4 mata, Tie Chia Chen berada di tempat kedua (198.1 mata) sementara Gim Yun Mi (Korea Selatan) memperoleh gangsa dengan 177.9 mata.

Nasib malang Malaysia berterusan selepas ketiga-tiga penembak dalam acara  50m Rifle Prone Lelaki, gagal mara ke pusingan akhir.

Mohamad Lutfi Othman muncul sebagai penembak terbaik Malaysia dalam pusingan kelayakan selepas mengutip 616.3 mata yang meletakkan beliau di tempat ke-19 daripada 41 peserta.

Dua orang lagi penembak -- Mohd Hadafi Jaafar dan Muhammad Ezuan Nasir Khan -- masing-masing menduduki tempat ke-29 dan ke-35 selepas mengumpul 612.7 dan 610.5 mata.

Penembak dari Korea Selatan, Kim Jonghyun meraih emas selepas mengatasi penembak Thailand, Vea Aree Attapon dengan 206.3 mata berbanding 206.1 mata di pusingan penyingkiran sementara rakan sepasukan Kim, Kim Hyeonjun terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa apabila meraih 185.3 mata.

Sebanyak 538 peserta dari 30 negara bersaing dalam cabaran selama seminggu itu, yang bermula hari ini dengan menawarkan 35 slot ke Sukan olimpik 2016.-- Bernama


Artikel Sebelum

Keputusan Piala Liga

Artikel Berikut

Artikel Lain