IPOH: Berbekal barisan yang terdiri daripada rata-rata anggotanya sendiri, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedar cabaran sukar yang menanti apabila bertemu T-Team dalam perlawanan play off bagi slot tunggal ke Liga Super musim ini. Aksi di Stadium Perak, di sini malam Sabtu bakal memberi gambaran awal kemampuan ATM, naib juara Piala Malaysia 2012, yang tampil berwajah baru tanpa memiliki pemain ternama mahupun bintang import. Di atas kertas, mereka kelihatan kerdil dengan skuad itu dikendalikan Azhar Abdullah berbanding T-Team yang dibimbing bekas jurulatih skuad kebangsaan Indonesia, Rahmad Darmawan. "Kita tak harap apa-apa keajaiban sebab pada musim ini rata-rata pemain adalah dalam kalangan anggota dan pemain tempatan. "Tapi kami akan tetap memberikan komitmen 100 peratus supaya dapat kekal dalam Liga Super," katanya pada sidang media di sini Jumaat. ATM yang menduduki tempat ke-11 Liga Super musim lepas dan T-Team, pasukan tangga ketiga Liga Perdana 2015, sepatutnya beraksi di liga kedua itu musim ini. Namun ketiadaan Lions XII dari Singapura yang tidak dijemput tahun ini membuka peluang kepada mereka mengisi kekosongan itu menerusi perlawanan play off berkenaan. Sementara itu, Rahmad berkata pemainnya sudah bersedia daripada segi mental dan fizikal untuk menghadapi perlawanan malam Sabtu. "Alhamdulillah, setiap pemain termasuk pemain import bebas daripada sebarang kecederaan dan boleh diturunkan pada perlawanan Sabtu," kata jurulatih import dari Indonesia itu. Bagaimanapun, beliau tidak akan memandang mudah saingan yang akan diberikan ATM walaupun menyedari pasukan itu hanya dibarisi pemain tempatan. "ATM merupakan pasukan yang penuh pengalaman dalam Liga Super sebelum ini. Jadi, kami tetap perlu berhati-hati," katanya. - BERNAMA