KUALA LUMPUR: Pemain profesional negara, Zulfadli Zulkiffli dan Goh Soon Huat mara ke suku akhir Kejohanan Antarabangsa Syed Modi, ketika empat pemain perseorangan yang lain tersekat laluan mereka di Lucknow, India, Khamis. Turut mengiringi mereka adalah pasangan beregu lelaki utama negara, Goh V Shem/Tan Wee Kiong dan gandingan campuran, Chang Peng Soon/Goh Liu Ying. Namun, kejutan milik Soon Huat yang menundukkan pilihan ke-10, Jeon Hyeok Jin dari Korea Selatan 21-13, 21-16 untuk menempah pertemuan dengan pilihan utama, K Srikanth, Jumaat. Terdahulu Srikanth menewaskan naib juara Masters Malaysia, Iskandar Zulkarnain Zainuddin 21-9, 21-12 manakala Zulfadli mengetepikan rakan senegara, Goh Giap Chin 13-21, 21-16, 21-16 di pusingan ketiga. Di suku akhir, Zulfadli akan menentang pemain veteran Thailand, Boonsak Ponsana yang menewaskan Shreyansh Jaiswal dari India 21-10, 21-18. Laluan Chong Wei Feng terhenti selepas tewas kepada pemain China, Shi Yuqi 18-21, 19-21 manakala juara remaja dunia, Goh Jin Wei turut mengalami nasib sama selepas kalah kepada pilihan keenam acara perseorangan wanita, Yui Hashimoto dari Jepun 17-21, 10-21. Sementara itu, V Shem/Wee Kiong mengejutkan pilihan keempat, Ko Sung Hyun/Shin Baek Cheol dari Korea Selatan apabila menang 21-14, 14-21, 24-22 untuk menempah pertemuan dengan gandingan Rusia, Vladimir Ivanov/Ivan Sozonov di suku akhir. Peng Soon/Liu Ying turut mara ke suku akhir menentang pasangan Jepun, Kenta Kazuno/Ayane Kurihara yang menundukkan Pranaav Jerry Chopra/Nelakurihi Sikki Reddy dari India 21-14, 21-17.