suria

Tan Cheng Hoe 'Baiki' Skuad Helang Merah Dari China

PEMAIN skuad Helang Merah kini berada dalam keadaan bersedia dari segi mental dan fizikal bagi menempuh cabaran Liga Malaysia yang akan bermula pada 13 Februari ini.

Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe yang berada di China bagi mengikuti kursus kejurulatihan Pro berkata, anak didiknya telah menerima ujian dalam perlawanan pra musim dengan berdepan pasukan negara jiran serta tempatan sejak awal bulan ini.

Menurut bekas penolong jurulatih skuad kebangsaan itu, walaupun terpaksa meninggalkan pasukan tersebut selepas berjaya mengikat Phuket FC 1-1 minggu lalu, namun pembantunya Nidzam Adha Yusof telah melaksanakan tugasnya dengan cemerlang termasuk memaklumkan mengenai prestasi semasa pemain.

"Saya hanya bersama mereka pada tiga perlawanan sahaja. Pada dua perlawanan terakhir ketika bertemu Krabi FC dan Songkhla, Nidzam telah menyampaikan segala maklumat mengenai pemain dan juga prestasi pasukan.

"Saya yakin barisan pemain sudah mendapat motivasi setelah melalui lima perlawanan pra musim dan aksi itu juga berjaya meletakkan diri mereka dalam keadaan lebih bersedia untuk menentang Felda United pada 13 Februari nanti.

"Saya memang puas hati dengan perkembangan prestasi pasukan dan juga barisan pemain Kedah yang telah beraksi dengan komited untuk meraih kemenangan pada setiap perlawanan yang dilalui. Bagaimanapun masih terdapat kelemahan yang perlu diatasi segera," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Tambah Cheng Hoe, antara kelemahan yang dikesan ialah di bahagian pertahanan dan serangan yang belum ampuh, tetapi boleh diatasi dengan segera agar tidak memberi kesan dalam saingan sebenar kelak.

"Carlos Kahe (penyerang) memerlukan sedikit masa lagi untuk memahami rentak permainan yang diamalkan kita, begitu dengan lima bekas pemain Harimau Muda dan tiga pemain tempatan yang diserapkan dalam skuad musim ini.

"Saya yakin ketika mengharungi Liga Super nanti, barisan pemain baru ini mampu memastikan mereka bukan sahaja memahami corak permainan kita malah lebih serasi antara satu sama lain.

"Pasukan Kedah kini berada di peringkat terakhir untuk menyediakan pemain terbaik untuk menghadapi liga yang lebih kompetitif," ujarnya.

Anak Didik Cheng Hoe dijadualkan menghadapi satu lagi perlawanan persahabatan pra musim pada Isnin dengan pasukan yang belum disahkan lagi oleh pihak pengurusan.

Kedah, Helang Merah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Alexandre Pato Milik Chelsea

Artikel Lain