suria

Djokovic Tewaskan Murray, Raih Trofi Keenam Terbuka Australia

NOVAK Djokovic merangkul trofi  juara Terbuka Australia kali keenam dan ke-11 gelaran Grand Slam selepas menundukkan Andy Murray pada aksi akhir di Melbourne Park, Ahad.

Djokovic menewaskan Murray 6-1 7-5 7-6(3)  dalam tempoh dua jam 53 minit yang menyaksikan pemain utama Britain kecewa buat kali kedua berturut-turut selepas kalah pada aksi sama tahun lalu serta 2011 dan 2013.

"Saya dapat rasakan pernah berada di sini sebelum ini. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Novak untuk trofi juara keenam Terbuka Australia ini.

"Ia sesuatu yang mengagumkan termasuk apa yang telah dia capai sejak beberapa tahun ini. Tahap konsistennya sangat luar biasa," jelas Murray,28.

Sebaik sahaja menerima trofi naib juara, Murray bergegas pulang ke England untuk bersama isterinya, Kim yang bakal melahirkan anak pertama mereka dalam tempoh terdekat ini.

Sementara itu, Djokovic yang masih menguasai kedudukan No.1 dunia turut memuji Murray biarpun mencatat sebelas kemenangan daripada 12 pertemuan antara mereka.

"Kamu adalah seorang lawan yang hebat dan kawan yang baik. Saya pasti  pada masa akan datang kamu akan kembali berjuang untuk merebut trofi ini.

"Saya juga berharap agar Kim selamat melahirkan anak pertama dan kamu pasti akan merasai pengalaman yang tidak ada di mana-mana, kerana saya pernah melaluinya bersama isteri," ucap Djokovic.

Selain itu, gelaran kesebelas grand slam yang dirakam Djokovic di Melbourne ini berjaya menyamai rekod Rod Laver (bekas pemain Australia)  dan bekas pemain nombor satu dunia dan Sweden, Bjorn Borg.

Manakala Roger Federer (Switzerland) masih mengekalkan rekod grand slam terbanyak dengan 17 kali, diikuti Rafael Nadal (Sepanyol) yang berkongsi 14 rekod bersama Pete Sampras (AS) dan Roy Emerson (Australia) mencatat 12 kali.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain