PETALING JAYA: Penasihat Kehormat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Seri Dr Hasmiza Othman akan mengadakan perbincangan tertutup dengan syarikat kontraktor pada Isnin untuk memperincikan kerja-kerja mengecat dan pengubahsuaian Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Baru. Usahawan kosmetik terkemuka negara itu berkata, pertemuan tersebut diadakan bagi memastikan Impian Berkat Trading yang dilantik Kafa mengikut rekaan yang ditetapkan, terutama laluan masuk dan trek balapan. "Saya mahu bersemuka dengan kontraktor bagi memastikan kerja mengecat dan pengubahsuaian stadium dilakukan secara teliti. "Lagipun saya peruntukkan RM1 juta untuk kerja baik pulih stadium. Jadi saya tak naklah mereka buat kerja sekadar hendak siap sahaja," katanya kepada mStar Online. Jelas beliau, pertemuan yang diadakan di ibu negara itu juga penting bagi memastikan kerja mengecat khususnya disiapkan sebelum sepak mula Liga Malaysia kurang dua minggu dari sekarang. "Kerja mengecat perlu disiapkan seperti yang telah dijanjikan kerana saya tak nak nanti perjalanan perlawanan terjejas. Kerja ubah suai tandas saya boleh pertimbangkan kerana ia dibuat secara berperingkat," katanya. Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida berkata dalam pertemuan itu, syarikat kontraktor tersebut akan menyerahkan sampel cat warna merah jambu yang sudah ditempah. "Hari ini baharu saya akan tahu warna cat tersebut. Mereka (kontraktor) kata warna cat itu sama macam yang saya inginkan, tapi apa-apapun kena tunggu petang ini," katanya. Pada masa sama, beliau turut menyatakan rasa kesal dengan tindakan kontraktor terbabit yang membuat tempahan tanpa berbincang dan menghantar sampel kepadanya terlebih dahulu. "Memang saya kecewa sedikit tapi nak buat macam mana, cat dah ditempah. Saya mungkin akan pertimbangkan warna cat itu. Jika tak nanti kerja mengecat akan terus tertangguh," katanya. Menurut Vida, beliau difahamkan, pihak kontraktor sudah pun menempah 200 tong cat yang diberi nama DSV Pink dari pengeluar cat di Klang, Selangor yang dianggarkan mencecah RM100,000. "Saya tak tahu lagi macam mana warna yang ditempah. Namun warna merah jambu pilihan saya itu lebih kepada warna magenta iaitu antara ungu dan mawar yang dicampur dengan merah muda," katanya. Selain berhasrat mencantikkan stadium keramat itu dengan warna merah jambu, Vida turut mahu balapan di stadium tersebut menggunakan warna asas Qu Puteh iaitu merah jambu dan putih. Beliau berkata idea tersebut timbul selepas melihat sendiri keadaan balapan yang uzur dan berlopak. "Saya nak cantikkan balapan tersebut yang sebelum ini guna tar jalan biasa ke warna merah jambu. Alang-alang dah ubah suai, kita kena cantikkan sekali balapan yang dah rosak," katanya. Terdahulu Vida memperuntukkan sebanyak RM1 juta untuk kerja mengecat dan pengubahsuaian stadium yang bakal menjadi mercu tanda baharu Kelantan. Sementara itu, Vida akan turut mengadakan pertemuan dengan pihak Kafa pada Selasa ini bagi membincangkan larangan membawa kuaci ke dalam stadium.