BARCELONA semakin hampir menempah slot ke final Copa Del Rey selepas mencatatkan kemenangan besar ke atas Valencia dengan 7-0 pada separuh akhir pertama di Stadium Camp Nou, Barcelona, awal pagi Khamis. Pasukan yang bakal mempertahankan gelaran pada musim 2014-2015 itu telah mengungguli kejuaraan Copa Del Rey sebanyak 27 kali setakat ini. Pasukan di bawah pimpinan Luis Enrique ini hanya perlu bermain berimbang untuk mara ke peringkat akhir menerusi perlawanan pusingan kedua yang akan diadakan di Stadium Mestalla, Valencia pada minggu depan. Ketujuh-tujuh gol dihasilkan oleh Luis Suarez dan Lionel Messi, masing-masing dengan empat dan tiga jaringan. Memulakan permainan secara agresif, Barcelona hanya perlu mengambil masa tujuh minit pertama untuk mencatatkan gol pembukaan, menerusi aksi Luis Suarez. Suarez kembali mencatatkan namanya di papan skor pada minit ke-12 dan Barcelona terus membolosi gawang Valencia apabila Messi menambah skor dengan 3-0 pada minit ke-29. Gol kedua dan ketiga Messi dihasilkan pada minit ke-58 dan ke-74. Suarez kembali membolosi gawang Valencia sebanyak dua kali pada minit ke-83 dan ke-88. Hanya keajaiban yang dapat menyaksikan Valencia dapat membantu menghalang Barcelona mara ke peringkat akhir. Saingan separuh akhir kedua pada 10 Februari depan akan menyaksikan satu permainan cukup mudah buat Barcelona untuk terus merangkul gelaran Copa Del Rey.