suria

Jazeman Tukar Angin Musim Ini

Jazeman akan menyertai perlumbaan GT Racing pada musim 2016 ini bersama pasukan HTP Motorsport dengan memandu jentera Mercedes Benz AMG GT3. -fotoBERNAMA

PETALING JAYA: Pelumba profesional negara, Jazeman Jaafar telah beralih ke tahap lain dalam karier sukan permotoran selepas mengambil keputusan untuk bersaing dalam siri perlumbaan endurance musim ini.

Katanya beliau telah menandatangani kontrak setahun dengan pasukan HTP Motorsports bagi dua perlumbaan premier di Eropah iaitu Blancpain Sprint Series (perlumbaan selama sejam) dan Blancpain Endurance Series iaitu perlumbaan selama tiga jam.

Pelumba kelahiran program Pembangunan Bakat Petronas itu mempunyai pilihan untuk menyambung kontrak setahun lagi dengan pasukan tersebut yang berpangkalan di Jerman.

Tawaran ini adalah rangsangan tepat pada masanya bagi meningkatkan karier kepada tahap yang lain selepas berjaya bersaing selama tiga tahun dalam perlumbaan Siri Formula Renault 3.5 sejak 2013, katanya pada sidang media di sini Khamis.

"Perlumbaan ini adalah satu cabaran dan persekitaran baharu bagi saya tetapi ia juga adalah batu loncatan bagi membina hubungan kukuh dengan Mercedes dalam mengejar impian saya menjadi pemandu Formula One (F1) pada masa akan datang," katanya.

Pelumba itu berkata keputusan untuk bertukar angin ke perlumbaan endurance musim ini atas nasihat keluarga dan bukan kerana kecewa untuk mencapai impiannya sejak zaman kanak-kanak untuk menjadi pelumba F1.

Pelumba berusia 23 tahun, yang kini berpangkalan di United Kingdom, berkata beliau akan memulakan sesi ujian pramusim di Perancis bulan depan bersama pasukannya dengan menggunakan engin Mercedes.

Dalam perkembangan lain, Jazeman berkata beliau tidak menolak kemungkinan untuk menyertai mana-mana pasukan F1 pada masa akan datang sekiranya menerima tawaran pada masa yang sesuai.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Petronas kerana memainkan peranan penting dalam melonjakkan kariernya kepada peringkat yang lebih baik.

"Petronas menjadi tulang belakang saya sejak menyertai mereka dalam program pembangunan bakat sejak 2008 dan tiada kata-kata dapat digambarkan atas segala bantuan yang diberikan oleh mereka untuk membantu meletakkan saya pada kedudukan sekarang," katanya.

Pencapaian terbaik bekas pelumba pasukan Fortec Motorsports itu ialah meraih kejuaraan perlumbaan Siri Formula Renault 3.5 di Monaco, tahun lepas. - BERNAMA

Jazeman Jaafar

Artikel Berikut

Artikel Lain