suria

Kelantan Beri Tumpuan Perkuat Barisan Pertahanan

CERIA... Pasukan Kelantan menggayakan ’tagline’ Qu Puteh bersama Penasihat Kehormat Persatuan Bola Sepak Kelantan Datuk Seri Dr Hasmiza Othman (dua,kanan) pada majlis memperkenalkan barisan pemain dan jurulatih pasukan PQPTRW di Stadium Sultan Muhammad IV pada Rabu. - fotoBERNAMA

KOTA BARU: Jurulatih Kelantan, K Devan kini memburu waktu untuk memantapkan barisan pertahanannya menjelang aksi pembukaan saingan Liga Super menentang Perak pada 13 Februari ini.

Devan berkata berbaki masa yang tinggal kurang dua minggu ini, pasukan itu akan memberikan tumpuan di barisan pertahanan yang didapati masih belum mantap.

"Saya akui pasukan ini mempunyai sedikit masalah pada bahagian pertahanan, oleh itu saya memberikan tumpuan lebih pada posisi berkenaan pada sesi latihan," katanya.

Dalam dua perlawanan persahabatan terakhir mereka, pintu gol Kelantan dibolosi tiga kali ketika menewaskan Yala United 3-1 pada 19 Januari lepas dan tewas 0-2 kepada Kuala Lumpur Selasa lalu.

Pada masa sama, Devan juga berkata beliau sedang membentuk keserasian tiga pemain import baharu iaitu Jonatan Lucca dari Brazil, Dramane Traore (Mali) dan Baze Ilijoski (Macedonia), dengan pemain tempatan pasukan itu.

"Dalam masa yang singkat ini, saya juga tumpukan untuk meningkatkan kecergasan mereka selain menerapkan corak permainan supaya mereka lebih faham dengan rentak pasukan dan pemain tempatan," katanya.

Beliau berkata keserasian antara pemain adalah penting bagi membina keyakinan untuk menang dalam perlawanan. - BERNAMA

K Devan, Kelantan

Artikel Sebelum

FAS Lancar Jersi Baharu Sabtu Ini

Artikel Berikut

Artikel Lain