SHAH ALAM: Skuad PKNS FC tidak mahu mengulangi episod kecewa musim lalu apabila hampir layak ke liga utama Malaysia, namun terpaksa akur menamatkan saingan pada kedudukan keempat keseluruhan Liga Perdana 2015. Prestasi memberangsangkan yang dipamerkan skuad Semut Merah pada musim lalu telah memberi harapan dan keyakinan kepada pengurusan kelab untuk melihat trofi juara Liga Perdana musim ini menjadi milik mereka. Sasaran tersebut bagaimanapun tidak memberi sebarang tekanan kepada pengendali PKNS FC, E.Elavasaran yang menganggap ia sebagai pendorong untuk melakar prestasi lebih baik. "Semua kelab sasar untuk muncul juara. Kita perlu akur dengan kehendak pihak pengurusan kelab dan saya tidak rasa sebarang tekanan dengan permintaan itu. "Ini tahun kedua saya bersama PKNS FC dan saya anggap sasaran itu boleh dicapai jika kita bermula dengan baik dan sentiasa positif dengan kemampuan semua pemain, selain sokongan pengurusan serta semua pihak," jelasnya kepada media selepas Majlis Pengenalan Pemain dan Pelancaran Jersi PKNS FC pada Khamis. Sementara itu, mengenai persiapan terakhir menjelang aksi pertama Liga Perdana bertemu pasukan Kuala Lumpur pada Jumaat ini, bekas jurulatih Terengganu ini mengakui pihaknya sudah bersedia. "Semua persiapan 'okay', cuma kehadiran pemain import yang agak lewat mengganggu sedikit persiapan kerana tidak sempat menguji mereka bersama pemain-pemain lebih lama.Tetapi itu bukan alasannya. "Perlawanan pertama musim selalunya akan sengit. Kemungkinan keputusan akan seri ataupun menang tanpa jaringan tinggi. "Sebagai tuan rumah di Stadium Hang Jebat, sudah tentu kita nak dapatkan tiga mata penuh walaupun sedar pasukan Kuala Lumpur mencatat keputusan positif dalam setiap perlawanan persahabatan mereka baru-baru ini," ujarnya. Dalam pada itu, Elavasaran turut mengulas mengenai penyerang import baharunya dari Palestin, Matias Jadue yang tiba di Malaysia tiga hari lalu. "Kami memang memantau dia sejak dua tiga minggu ini sebelum membuat keputusan. Dia sebenarnya berasal dari Chile. "Saya dapat rasakan kehadirannya mampu memantapkan lagi barisan serangan. Namun untuk perlawanan esok, saya masih belum membuat keputusan sama ada memasukkannya dalam senarai utama atau tidak. "Kalau masukkan dia terlalu awal, skuad mesti akan menjadi huru-hara kerana dia masih baharu. "Lagipun kita masih belum mendapat Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) Jadue. Saya harap sehari dua ini semuanya akan selesai," katanya. PKNS FC menggunakan Stadium Hang Jebat di Melaka sebagai tuan rumah buat sementara waktu sehingga Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) selesai menjalani proses pembaik pulih sehingga April ini.