PENGURUS Chelsea Guus Hiddink mengesahkan Diego Costa mengalami kecederaan patah hidung semasa menjalani latihan pada Khamis. Namun penyerang berbisa itu akan diturunkan menentang Newcastle dengan memakai topeng untuk melindungi bahagian yang cedera tersebut. Costa menjaringkan enam gol daripada tujuh perlawanan Liga Perdana Inggeris dan mempamerkan prestasi cemerlang dibawah kendalian Hiddink. "Costa patah hidung selepas bergelut dengan salah seorang pemain. Dia akan memakai topeng. Kami adalah pasukan Zorro. "Ia adalah kecederaan ringan di kawasan yang sensitif," kata Hiddink. Sementara itu, Hiddink turut mengesahkan Alexandre Pato yang baru sahaja menyertai Chelsea tidak akan diturunkan malam Ahad tetapi sedia beraksi ketika menentang Manchester City dalam saingan pusingan kelima Piala FA, minggu depan. "Dia sedang menyesuaikan diri dan belum sedia untuk diturunkan menentang Newcastle tetapi akan beraksi ketika berdepan Manchester City," katanya. Hiddink juga memberitahu pemain muda Chelsea, Jake Clarke-Salter mungkin diturunkan pada malam Sabtu selepas Kurt Zouma terpaksa diketepikan akibat kecederaan lutut yang serius. "Ia memberi peluang kepada pemain lain untuk membuktikan skil dan bakat mereka, kami tidak takut menurunkan pemain muda," kata Hiddink.