suria

PAFA Tetap Kejar Khidmat Oybek Kilichev

Oybek Kilichev.

IPOH: Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) akan berusaha mendapatkan semula khidmat pemain import dari Uzbekistan, Oybek Kilichev apabila jendela perpindahan dibuka 20 Jun ini, kata Presidennya Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Beliau berkata pemain itu yang sepatutnya menyertai 'Bos Gaurus' untuk musim ini mungkin ditawarkan kontrak jangka panjang kelak.

"Kita semua telah melihat kualiti beliau sebagai seorang pemain bertaraf antarabangsa dan kita akan berusaha untuk membawa beliau pulang ke Perak,"katanya dalam satu kenyataan di sini, Isnin.

Kilichev yang mengikat kontrak dengan PAFA, 15 Januari lalu bagaimanapun tidak dapat bermain dengan Perak kerana Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mendapati pemain itu beraksi bersama pasukan Divisyen Dua Liga Parsi pada musim 2015/2016.

Peraturan FAM menetapkan pemain dari Asia yang ingin beraksi dalam Liga Malaysia mesti seorang pemain kebangsaan tahun semasa atau dari pasukan divisyen satu.

Berikutan itu, Kilichev yang sepatutnya menjadi pemain import keempat Perak musim ini digantikan dengan Erick Weeks Lewis dari Liberia.

Abdul Puhat memohon maaf kepada penyokong Perak atas masalah teknikal yang dihadapi sehingga menyebabkan Kilichev tidak dapat didaftarkan untuk bermain pasukan negeri.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada penyokong 'Bos Gaurus' yang memberi sokongan luar biasa semasa perlawanan Liga Super Perak menentang Kelantan di Stadium Perak, Sabtu lalu.

"Sokongan sedemikian sudah pasti telah menyuntik semangat yang lebih tinggi kepada pemain untuk memberikan yang terbaik," katanya. - BERNAMA






PAFA, Oybek Kilichev

Artikel Berikut

Artikel Lain